Pages

Monday, May 4, 2009

HAK-HAK PEMERINTAH

"Seseorang yang melihat secara jelas kesalahan pemerintah dalam sesuatu masalah, MESTILAH MENASIHATINYA dan TIDAK BOLEH MENGEJINYA DI HADAPAN ORANG RAMAI".

Al-Syaukani dalam Al-Sail al-Jarrar

Dalam ketidakstabilan politik negara pada zaman ini, kita dapat lihat fitnah telah menjadi suatu perkara yang biasa. Pada pandangan saya, fitnah yang dilemparkan terhadap pemerintah dan juga kerajaan akan memberikan implikasi yang buruk terhadap perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara yang tercinta ini.

Sesungguhnya setiap pemerintah mempunyai hak-hak yang telah diwajibkan oleh Islam ke atas rakyatnya, mengambil berat terhadapnya, memeliharanya, dan melaksanakannya kerana seluruh kemaslahatan umat dan masyarakat tidak akan sempurna dan teratur kecuali dengan kerjasama antara pemerintah dan rakyat, pelaksanaan setiap kerja atau tugas yang diwajibkan serta menjalankan amanah dan tanggungjawab.

1. Ikhlas dan Doa
Kewajipan yang pertama sekali ke atas rakyat adalah ikhlas kepada para pemerintah, kasihkan mereka dan menginginkan kebaikan kepada mereka serta membenci segala yang memburukkan mereka. Rasulullah s.a.w menjelaskan perkara tersebut dengan menyatakan : "Agama itu nasihat....daripada Allah, kitab-Nya, untuk para pemimpin kaum Muslimin dan keseluruhan mereka."

Sabda Baginda s.a.w. lagi :
"Sesungguhnya Allah meredai kepada kamu tiga perkara : Menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, berpegang dengan ajaran Allah keseluruhannya dan jangan berpecah belah dan menasihati pemimpin."

Di sini kita dapat lihat peranan kita sebagai orang Islam salah satunya adalah sentiasa berdoa dengan kebaikan untuk pihak kerajaan dan pemimpin. Kita mestilah menjauhi daripada memaki mereka, mengaibkan mereka dan menghebahkan kejahatan mereka kerana yang demikian itu adalah kejahatan dan kefasadan yang besar. Kita tidak disuruh untuk berdoa ke atas mereka kejahatan sekalipun mereka zalim dan kerana kezaliman mereka dan penganiayaan mereka adalah dosa yang ditanggung ke atas diri mereka dan kaum Muslimin manakala kebaikan mereka adalah pahala bagi mereka dan kaum Muslimin.

2. Penghormatan dan Kemuliaan
Rasulullah s.a.w telah mewajibkan ke atas umat ini menghormati dan memuliakan para pemimpin. Pada waktu yang sama Baginda melarang mencaci mereka dan menyebut kekurangan mereka dan kelemahan mereka kerana demikian itu menyebabkan berlakunya kebencian rakyat kepada mereka bahkan juga akan membawa kepada kejahatan , kerosakan, kederhakaan dan permusuhan.

Sahl bin Abdullah al-Tastari telah berkata : "Manusia sentiasa dalam keadaan baik selama mana mereka menghormati sultan dan ulama maka sekiranya mereka menghormati kedua-duanya ini Allah memberi kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka dan sekiranya mereka menghina kedua-duanya Allah merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka."

Sebuah hadis daripada Abi Bakr r.a. katanya : Aku mendengar Nabi bersabda :

"Sultan ialah bayangan Allah di bumi maka sesiapa yang memuliakannya Allah akan memuliakannya dan sesiapa yang menghinanya Allah akan menghinanya."

Selain itu daripada Huzaifah: "Tidaklah berjalan satu kaum kepada sultan Allah di atas muka bumi untuk menghinanya melainkan Allah menghina mereka sebelum mati."

Di sini kita dapat melihat sesungguhnya agama Islam memberikan kemuliaan dan penghormatan kepada para pemimpin.

3.Patuh dan Taat
Berusahalah mentaati pemimpin zahir dan batin, pada setiap yang diperintahkan dengannya dan yang ditegahnya kecuali yang berupa maksiat.

Inilah hak yang paling besar ke atas rakyat dan sebesar-besar kewajipan ke atas mereka terhadap pemerintah-pemerintah mereka kerana taat itu sesungguhnya adalah asas-asas yang kuat bagi menyusun urusan-urusan negara dan masyarakat, serta untuk merealisasi matlamat dan kehendak agama dan keduniaan.

Umar bin al-khattab pernah berkata : "Tidak sempurna Islam tanpa jemaah dan tidak sempurna jemaah tanpa pemimpin dan tidak sempurna pemimpin tanpa ketaatan."

4. Nasihat dan penilaian
Para pemerintah bukanlah maksum, tindakan mereka mungkin betul atau tidak dan mereka masih memerlukan nasihat orang yang ikhlas dan tunjuk ajar daripada orang yang bertakwa. Menasihati mereka berpandukan syariah adalah petunjuk daripada agama dan petunjuk generasi salaf yang berkehendakkan kepada ikhlas berdiplomasi, lunak, lemah lembut, bijaksana supaya hasilnya terlaksana.

Dalam satu peristiwa seorang lelaki telah berkata kepada Sultan Harun al-Rashid ketika baginda sedang bertawaf : ""Saya ingin berbicara denganmu secara kasar, oleh itu bersabarlah!" Baginda menjawab : "Tidak! Sekiranya tanpa kemuliaan, sesungguhnya Allah telah mengutuskan orang yang lebih baik daripadamu iaitu Nabi Musa a.s. kepada orang yang lebih jahat daripada saya iaitu Firaun seperti firman-Nya kepada Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s.:

Maksudnya : Katakanlah (wahai Musa dan Harun ) kepadanya (Firaun) dengan ucapan yang lunak, mudah-mudahan dia sedar atau takut kepada Allah.

( Surah Taha : 44)

Bagi menasihati pemerintah terdapat 3 cara yang dilakukan oleh ulama salaf ialah :

  • Menasihati pemerintah pada ketika tiada orang bersama.
  • Menulis surat kepada mereka.
  • Menghubungi ulama yang berdamping dengan pemerintah agar mereka dapat membimbingnya ke arah kebaikan.
Dalam kitab al-Adab al-Syar'iyyah karangan Ibn Muflih,

"Sesungguhnya seseorang itu tidak boleh mengingkari dan menegur sulta kecuali memberi nasihat kepadanya, menakutkannya dengan ancaman Allah serta mengingatkannya tentang hukuman di dunia dan di akhirat. Inilah sahaja yang wajib dilakukan dan selain itu diharamkan."

5. Memberi Bantuan
Ibn Jamaah berkata: "Membantu pemerintah secara batin dan zahir adalah bersungguh-sungguh ke arah itu yang mana ia dapat menolong umat Islam untuk menjaga kehormatan agama dan menghapuskan golongan pelampau. Memberi bantuan juga bermakna menjaga dan memelihara lidah dan perbuatan, harta dan jiwa, zahir dan batin, secara sembunyi dan terang-terangan.

Kesimpulannya, jika kita inginkan pemimpin kita yang terbaik, kita haruslah tunaikan hak-hak pemerintah.Apabila kita mengingkarinya maka tunggulah bencana yang lebih buruk.

wallahu alam.......

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...