Pages

Friday, November 19, 2010

Respon Terhadap Artikel " Mana Mahasiswa Bantu Mangsa Banjir"

Banjir yang melanda di beberapa kawasan di Kedah, Perlis dan Kelantan telah menyebabkan penduduk-penduduk di kawasan tersebut telah mengalami kerugian yang besar tidak kurangnya juga ada keluarga yang telah mengalami kematian ahli keluarga mereka. Banjir besar yang melanda ini adalah antara yang terburuk yang pernah dialami oleh rakyat Malaysia. Pihak kerajaan telah mengambil langkah dengan pantas dan segera dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang berada di Kedah dan Perlis.

Selepas itu, kita dapat melihat ramai pihak yang memberikan bantuan termasuklah Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik. Usaha yang ditunjukkan ini menunjukkan bahawa kita walaupun berbeza ideologi tetapi apabila munculnya isu-isu yang berkaitan dengan kemanusiaan, kita akan bersatu.Tetapi satu persoalan telah ditimbulkan oleh saudara Jabdin Juhat pada artikel beliau dalam Sinar Harian yang bertarikh 18hb November pada muka surat N16 yang bertajuk “Mana Mahasiswa Bantu Mangsa Banjir” (http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8417852.asp ).

Saya begitu terkejut membaca artikel tersebut kerana ia menggambarkan mahasiswa pada hari ini seperti tidak melakukan apa2 terhadap isu-isu semasa yang berlaku di tanah air kita ini. Saya melihat terdapat dua perkara penting dalam artikel ini, yang pertama adalah berkaitan dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan yang kedua adalah berkaitan dengan isu banjir yang melanda kawasan utara baru-baru ini.

Persoalan pertama yang ditimbulkan adalah berkaitan dengan hala tuju Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sekarang. Saya tidak pasti sama ada saudara Jabdin ini membaca surat khabar ataupunmendapat sumber daripada pemimpin mahasiswa sendiri berkaitan tentang mesyuarat MPPK pada 6hb Ogos 2010 yang telah dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri sendiri iaitu Tan Sri Dato Haji Muhyiddin Yasin. Dalam mesyuarat tersebut terdapat lima kertas kerja yang telah dibentangkan kepada pihak kerajaan untuk pertimbangan iaitu “Siaran Televisyen Sebagai Medium Pembentukan Masyarakat” , "MBE: Satu Transformasi Ketidakbergantungan Mahasiswa" , "Pelan Transformasi Drastik Ke Arah Melahirkan Masyarakat Yang Sensitif Dan Cakna Isu-Isu Alam Sekitar" , "Transformasi Pendidikan Tinggi Ke Arah Graduan Berketerampilan" dan "Memperkasakan Program Pertukaran Pelajar - Outbound & Inbound".

Selain itu satu seminar iaitu Seminar Islamisasi Industri Hiburan 1 Malaysia yang berkaitan dengan islamisasi hiburan tanah air juga telah diadakan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Unisza dengan kerjasama MPPK pada bulan Oktober yang lepas. Selain itu, kami juga telah bersetuju untuk melakukan kutipan derma bagi membantu penduduk Palestin dan kutipan derma tersebut diserahkan mengikut universiti masing-masing. Kami juga ada menyuarakan kepada pihak-pihak kerajaan berkenaan isu-isu PTPTN, 1 Malaysia, Bajet 2011, mahasiswa berpolitik dan lain-lain lagi.Tetapi yang pastinya, apa yang kami lakukan ini bergantung juga kepada media untuk menyiarkan perkara-perkara yang dilakukan oleh kami ini.

Saya dan rakan-rakan pemimpin mahasiswa tersenyum apabila membaca tentang isu banjir dalam artikel tersebut . Dalam artikel tersebut menyatakan bahawa kami mahasiswa seperti tidak melakukan apa-apa untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Untuk pengetahuan semua, beberapa university telah menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis walaupun ada kekangan seperti masih dalam minggu peperiksaan dan pelbagai lagi. Universiti-universiti yang terlibat dalam menghantar sukarelawan-sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa ini seperti USM, UIA, USIM, UUM, Unimap, Uitm, UPM dan beberapa buah universiti lagi.Sebagai contoh Universiti Sains Malaysia telah menghantar sukarelawan seramai 120 orang walaupun masih dalam minggu peperiksaan pada 12-14 November baru-baru ini ke negeri Perlis. Universiti Islam Antarabangsa pula telah menghantar sukarelawan sebanyak dua bas pada tarikh yang sama ke kawasan sekitar Jitra dan Alor Star. Adakah ini menunjukkan kami tidak peka dengan keadaan sekeliling?

Saya mewakili kepimpinan mahasiswa berasa begitu terkilan dengan beberapa ayat dalam artikel saudara Jabdin yang memberikan gambaran negatif kepada semua mahasiswa. Pada pandangan saya, peranan media juga penting dalam hali ini. Jika saudara Jabdin mengatakan bahawa kami perlu berbakti supaya masyarakat dan kerajaan menghormati mahasiswa, saya juga ingin mengatakan kepada saudara supaya menghormati mahasiswa sebagai salah satu elemen penting dalam pembangunan negara pada masa hadapan.

Ahmad Wafi Bin Sahedan
Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sidang 2009/2010

Tuesday, October 26, 2010

Memorandum Pengecaman Penganjuran Festival Busana Muslim (IFF) di Las Vegas

MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (MPPK) MALAYSIA 2009/2010
Bilik Majlis Perwakilan Pelajar USM, 11800, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

Memorandum Pengecaman Penganjuran Festival Busana Muslim Atau Dikenali Sebagai Islamic Fashion Festival (IFF) di Las Vegas Kepada
Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung Festival Busana Islam.



Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri,

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) merupakan satu platform yang mewakili seluruh kepimpinan mahasiswa di IPTA/IPTS dan platform ini diiktiraf oleh pihak kerajaan. Kami mewakili mahasiswa Malaysia ingin melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan penganjuran Festival Busana Muslim atau lebih dikenali sebagai Islamic Fashion Festival (IFF) di Las Vegas.

Penganjuran Islamic Fashion Festival (IFF) Gala Dinner and Fashion Show yang berlangsung di Monaco Sporting Club di Monte Carlo Las Vegas yang telah dirasmikan oleh YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansur pada 9 Ogos 2010. Dalam acara ini, pertunjukan fesyen yang kononnya mencerminkan fesyen Islam telah ditonjolkan dengan harapan untuk mengkomersialkan fesyen busana muslimah.


Kami memahami penganjuran ini bertujuan untuk mempromosikan cara pemakaian Islam kepada masyarakat dunia tetapi apa yang berlaku di Las Vegas merupakan penghinaan kepada umat Islam kerana ia telah menimbulkan fitnah dan memberikan imej yang buruk kepada umat Islam terutamanya golongan wanita Islam. Sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku jika pihak penganjur mengambil sikap berhati-hati sebelum festival ini berlangsung.

Persoalan tatacara berpakaian dalam Islam mempunyai disiplinnya yang tersendiri, tidak sekadar mengenakan kain ke tubuh badan sahaja. Disiplin dan pendefinisian aurat dalam bentuk tampak kulit, bentuk badan dan bertudung menutup rambut merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam mengembangkan fesyen 'Islamic'. Akan tetapi amat dikesalkan kerana pihak penganjur seakan-akan amat tidak berhati-hati dengan fesyen yang dipamerkan dan menimbulkan fitnah terhadap amalan berpakaian dalam Islam itu sendiri.


Jadi kami di barisan kepimpinan mahasiswa secara tegasnya mendesak pihak penganjur untuk meminta maaf secara terbuka kepada bukan sahaja umat Islam di Malaysia malah umat Islam di dunia atas penganjuran Festival Busana Islam yang telah berlangsung di Las Vegas. Kami berpendapat hal ini adalah untuk memastikan maruah wanita Islam terpelihara dan tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Secara prinsipnya, kami tidaklah menolak sebarang penganjuran festival yang ingin dianjurkan namun ianya haruslah dipastikan selari dengan syariat yang telah ditetapkan. Bahkan kami menyokong dan akan berusaha mempromosikan mana-mana festival islam yang berada diatas landasan syariat.Kami berharap perkara seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan kerana hal ini adalah berkaitan dengan sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.

Yang Benar,


AHMAD WAFI BIN SAHEDAN

Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
Sidang 2009/2010


Sk. YAB Dato' Seri Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Senator Mejar Jeneral(B) Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
( Hal Ehwal Agama Islam )

YB Datuk Seri Mohd Khaled Bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Datuk Raja Rezza Shah, Pengerusi Festival Fesyen Islam.

Prof Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Monday, October 18, 2010

Politik Baru Mahasiswa Kini

Parlimen Mahasiswa USM atau lebih dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar yang akan diadakan pada 23 hb Oktober 2010 telah mendapat perhatian oleh pelbagai pihak kerana ia adalah satu-satunya parlimen mahasiswa yang akan diadakan buat pertama kali di Malaysia. Percubaan Parlimen Mahasiswa USM yang diadakan pada 25 hb September 2010 telah berjaya mencapai objektifnya dan kini menunggu giliran untuk persidangan rasmi pada 23 hb Oktober 2010.

Parlimen mahasiswa USM terdiri daripada 58 ahli parlimen di mana 39 adalah exco Majlis Perwakilan Pelajar dan 19 ahli parlimen terdiri daripada pemimpin persatuan pelajar yang dipilih dalam kalangan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar. Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar USM secara automatik menjadi setiausaha Parlimen Mahasiswa USM seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Universiti.

Parlimen Mahasiswa USM ini mempunyai peraturan atau undang-undang tersendiri yang telah dicadangkan oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa dalam bengkel pembentukkan Parlimen Mahasiswa USM pada awal tahun ini. Peraturan-peraturan dalam parlimen ini adalah berkaitan dengan cara atau kaedah yang digunakan semasa parlimen bersidang.
Keistimewaan Parlimen Mahasiswa USM ini dapat kita lihat jika kita bandingkan Parlimen Mahasiswa USM dengan Parlimen Malaysia . Pertama, pemerhati-pemerhati yang berada dalam Parlimen Mahaiswa USM boleh mengambil bahagian dalam perbahasan semasa sesuatu isu sedang dibahaskan oleh ahli ahli dewan dengan kebenaran speaker. Kedua , dalam parlimen mahasiswa ini, tidak ada istilah pihak kerajaan atau pembangkang, semuanya berbincang atas kapasiti sebagai seorang pemimpin mahasiswa.
Berbeza dengan Parlimen Malaysia, kita mempunyai pihak kerajaan dan pihak pembangkang dalam parlimen.

Ramai yang mempertikaikan tentang kuasa yang ada pada parlimen mahasiswa ini, sehinggalah ada segelintir pihak mempertikaikan bahawa parlimen ini hanyalah sesuatu yang tidak berguna. Perlu diingatkan bahawa setiap binaan yang wujud memerlukan asas yang kukuh. Biarlah parlimen mahasiswa ini menjadi satu tapak permulaan bagi menaikkan roh suara mahasiswa supaya didengari oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan. Usaha ini adalah satu permulaan bagi memastikan mahasiswa pada hari ini melangkah ke hadapan sebagai membuktikan bahawa mahasiswa pada hari ini tidak lesu seperti tanggapan sesetengah pihak terhadap mahasiswa.

Pada pandangan saya, seharusnya negara kita juga mempunyai sebuah Parlimen Mahasiswa Malaysia sebagaimana yang telah dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia. Jika dilihat di beberapa buah negara seperti Pakistan, India, United Kingdom dan beberapa buah lagi negara, mereka mempunyai sebuah parlimen belia yang berfungsi menasihatkan pihak kerajaan dalam perkara-perkara berkaitan belia. Kewujudan parlimen mahasiswa Malaysia ini sangat penting kerana bak kata Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak “zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir”.

Parlimen Mahasiswa Malaysia ini boleh dilihat sebagai “Third Force” dalam negara kerana ia bakal mencorakkan politik baru dalam negara kerana partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara akan dapat dilihat melaluinya.Pastinya akan timbul pelbagai perkara apabila idea ini dilontarkan iaitu siapakah ahli-ahlinya? Bagaimanakah perjalanan parlimen mahasiswa Malaysia ini? dan pelbagai lagi.Bagi saya semua itu adalah persoalan kedua, persoalan pertama adalah apakah matlamat yang ingin dicapai daripada penubuhan parlimen Mahasiswa Malaysia ini? Sudah tentunya adalah untuk memastikan partisipasi mahasiswa dalam politik dan pembangunan negara.

Saya melihat ini adalah salah satu alternatif yang boleh diwujudkan jika ingin melihat partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara, bukannya dengan hanya membenarkan mahasiswa menyertai parti politik boleh memastikan partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara. Ini adalah idea yang saya lihat dapat memastikan partisipasi mahasiswa dalam agenda pembangunan negara. Pada hari ini mahasiswa sudah pun mempunyai platform Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, tetapi peredaran masa sentiasa akan menyebabkan perubahan akan berlaku.

Selain itu, jika kita lihat pada hari ini, jawatan senator diberikan kepada orang yang mempunyai kepentingan dalam suatu organisasi atau lapisan masyarakat. Jadi seharusnya pemimpin mahasiswa juga diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai senator tetapi seperti mana yang kita tahu terdapat beberapa syarat yang membataskan penglibatan mahasiswa sebagai senator terutamanya dari segi umur. Sebenarnya idea ini adalah daripada Tunku Abdul Rahman yang pernah mencadangkan supaya satu atau dua kerusi diperuntukkan kepada mahasiswa dalam perbahasan di Parlimen negara. Artikel ini ditulis pada 30 Disember 1974, kira-kira 36 tahun dahulu. Cadangan ini jelas menunjukkan beliau sangat menghormati dan melayani mahasiswa sebagai orang dewasa dan bukannya seperti kanak-kanak yang sentiasa diragui kewibawaannya.

Partisipasi mahasiswa dalam politik dan pembangunan negara bukanlah dengan hanya melihat penglibatan mahasiswa dengan parti politik tetapi boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lagi.Ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Mahasiswa pada hari ini berpeganglah dengan kata-kata “ Jangan tanyakan pada negara apa yang negara berikan pada kamu, tanyakan pada diri kamu, apa yang kamu berikan pada negara “.
Mahasiswa pada hari ini seharusnya berdiri atas platform mahasiswa bukannya diperkudakan dan digunakan oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan masing-masing.

Ahmad Wafi Bin Sahedan
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Malaysia
Sidang 2009/2010

Wednesday, October 13, 2010

USUL-USUL PARLIMEN MAHASISWA YANG AKAN DIBAHASKAN PADA 23 OKTOBER 2010

USUL 1
1. Perbelanjaan dan belanjawan kewangan semua jabatan USM harus diumumkan.
2. Wang Simpanan Universiti Dikhabarkan Tiada Tetapi Pembaziran Tetap Ada

USUL 2
1. Program universiti terlalu mendesak MPD mencari penglibatan penghuni
2. Program-program universiti

USUL 3
Penguatkuasaan Pemakaian Lanyard Semasa Memasuki Perpustakaan

USUL 4
Kekurangan bas untuk kegunaan HEP/Persatuan sahaja di Kampus Kejuruteraan

USUL 5
Permohonan Perkhidmatan Internet Berjalur Lebar Tinggi, “New Open Acess Network”

USUL 6
Kemudahan Prasarana Di Desasiswa Tidak Memuaskan

USUL 7
Persatuan Seni Mempertahankan Diri Tidak Dijadikan Sebagai Ko-Kurikulum

USUL 8
Pertandingan Yang Dianjurkan Oleh Kampus Induk Tidak Efisien.

USUL 9
Kemudahan Sukan Yang Tidak Memuaskan

USUL 10
Pilihan raya kampus perlu berasaskan parti atau berplatform.

USUL 11
Menuntut kerajaan negeri Pulau Pinang membenteras isu merempat dikalangan rakyat.

USUL 12
Mendesak parlimen negara Malaysia menggubal satu rang undang-undang berkenaan masalah “menghidu gam”.

USUL 13
Penggunaan ‘SECURITY CARD’ di kawasan Kompleks RST bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta serta mengetatkan penggunaan kenderaan (kereta) terhadap pelajar.

USUL 14
Laluan sehala RST terus ke foyer DK W


USUL 15
Mahasiswa Berpolitik


USUL 16
Elaun kepada Ahli-ahli dalam Dewan Perundingan Pelajar


USUL 17
Penglibatan suara mahasiswa dalam penentuan dasar-dasar dan polisi-polisi universiti yang berkaitan dengan mahasiswa.

USUL 18
Menolak cadangan CUEPACS yang ingin melanjutkan usia persaraan penjawat awam dari 58 tahun kepada 60 tahun.

USUL 19
Mahasiswa dan Politik Kepartian

Sunday, September 19, 2010

Politik Kampus

Bermulanya sidang 2008/2009, politik kampus di USM dan juga kebanyakkan universiti telah berubah coraknya apabila Pilihan Raya Kampus (PRK) telah diadakan pada awal tahun 2009 iaitu bulan Januari untuk memilih Exco-exco Majlis Perwakilan Pelajar bagi sidang 2008/2009. Perkara ini telah diteruskan untuk Pilihan Raya Kampus(PRK) 2009/2010 apabila pemilihan MPP bagi sidang 2009/2010 diadakan pada awal tahun 2010 juga iaitu dalam bulan Januari.Berbeza dengan pemilihan MPP untuk sidang akademik 2007/2008 dan sebelumnya, PRK di USM telah diadakan pada bulan Oktober.
Saya ingin menimbulkan pendapat secara peribadi tentang keadaan yang timbul ini. Hal ini kerana saya adalah mantan Exco MPPUSM sidang 2008/2009 dan juga YDP MPPUSM sidang 2009/2010. Saya dapat lihat keadaan ini sebenarnya telah mempengaruhi pergerakan MPP dengan persatuan, kelab dan MPD dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa dalam kampus.
Kita perlu faham tentang situasi bagaimana pemilihan persatuan, kelab dan Majlis Penghuni Desasiswa diadakan di USM. Semua persatuan, kelab dan Majlis Penghuni Desasiswa akan mengadakan pemilihan baru untuk kepimpinan mereka bermula sidang baru. Maksudnya, mereka akan berkhidmat mengikut sidang iaitu satu sidang. Contohnya, barisan kepimpinan Kelab Astronomi telah dipilih melalui AGM pada awal sidang 2009/2010 iaitu dalam bulan Ogos dan mereka akan berkhidmat sehingga sidang 2009/2010 tamat. Semua persatuan, kelab dan MPD melalui tempoh perkhidmatan yang sama kecuali MPP. Pemilihan MPP dilakukan pada bulan Januari iaitu pertengahan sidang.
Kesan daripada kaedah yang sedang dilaksanakan ini ialah ketidakseragaman tempoh perkhidmatan MPP dengan persatuan, kelab dan MPD. Tempoh perkhidmatan bagi persatuan, kelab dan MPD ialah satu sidang iaitu contohnya, dari bulan Ogos iaitu awal sidang akademik sehinggalah sidang akademik yang berikutnya. Berbeza dengan MPP, yang mana tempoh perkhidmatan bermula pada bulan Januari iaitu pertengahan sidang akademik sehinggalah bulan Januari berikutnya.

Ketidakseragaman tempoh perkhidmatan ini sebenarnya telah menyebabkan hubungan dan kerjasama MPP dengan persatuan,kelab dan MPD tidak cukup erat kerana sepatutnya MPP bergerak seiring dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD iaitu dalam satu sidang. Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah MPP tidak dapat bekerjasama dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD dalam tempoh satu sidang,tetapi hanya cuma untuk satu semester sahaja.
Pada pendapat peribadi saya, pemilihan MPP haruslah dilakukan pada awal sidang akademik iaitu dalam bulan Ogos atau September selari dengan kepimpinan baru persatuan, kelab dan MPD. Hal ini supaya kepimpinan MPP dapat naik bersama –sama dan berkhidmat dengan kepimpinan persatuan, kelab dan MPD untuk satu tempoh sidang dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa di kampus. Tetapi perkara ini haruslah dibincangkan dalam kalangan pemimpin persatuan, kelab dan MPD supaya mereka dapat melontarkan pandangan tentang perkara ini kerana saya hanya melontarkan pandangan peribadi saya tentang perkara ini.

Ahmad Wafi Bin Sahedan
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Malaysia
Sidang 2009/2010

Sunday, August 1, 2010

Utusan Malaysia 31 Julai 2010 m/s 10 - Jangan ganggu mahasiswa di kampus

Utusan Malaysia m/s 10 31 Julai 2010

Mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini telah diberi peluang untuk melibatkan diri dalam kancah politik di universiti masing-masing.Politik yang dimaksudkan ialah politik kampus yang meliputi segala perkara yang berkaitan dengan politik dalam kampus.Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah satu platform yang digunakan oleh mahaiswa/I dalam menceburkan diri mereka dalam dunia politik kampus.Platform ini adalah sesuai digunakan oleh mahasiswa/i dalam membawa idealisme dan agenda perjuangan masing-masing.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ialah salah satu platform yang telah diwujudkan oleh kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa berkaitan dengan isu-isu nasional didengari oleh pihak kerajaan.Selain itu kita juga mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap universiti yang berfungsi memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi universiti masing-masing.

Jadi tidak seharusnya timbul persoalan yang mahasiswa pada hari ini tidak mempunyai platform untuk menyuarakan pandangan atau pendapat mereka. Jika mahasiswa dan mahasiswi menyertai sesebuah parti politik, adakah mereka akan bebas untuk mengkritik kepimpinan parti tersebut?Silap-silap mereka akan digantung keahlian kerana lantang mengkritik kepimpinan parti.

Mahasiswa dan mahasiswi juga tidak akan mempunyai idealisme tersendiri apabila mereka menyertai parti-parti politik kerana kongkongan dasar parti tersebut.Hal ini kerana dasar partilah yang akan membunuh idealisme mahasiswa tersebut.Perkara paling penting yang perlu diingatkan adalah mahsiswa/I adalah golongan yang masih belum menamatkan pengajian mereka.

Hal ini menyebabkan saya yakin dan percaya bahawa apabila mahasiswa/I dibenarkan untuk menyertai parti-parti politik, pengajian mereka di universiti juga akan terganggu dek kerana politik luar ini.

Kemunculan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang sebenarnya melindungi mahasiswa daripada cengkaman parti-parti politik di luar kampus. AUKU yang menyebabkan mahasiswa dan mahasiswi pada hari ini mempunyai idealisme tersendiri dan juga kita dapat membentuk kepimpinan mahasiswa di kampus mengikut acuan tersendiri tanpa kongkongan parti-parti politik di luar kampus.AUKU juga menjadikan kampus kita selamat dan aman daripada ahli-ahli politik yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperkudakan mahasiswa dan mahasiswi.

Kepada orang dewasa yang berada di luar kampus yang telah berjaya dalam pengajian di universiti dan kehidupan mereka,janganlah cuba mencadangkan idea-idea yang bukan mereka akan tanggung kesannya tapi kami dan generasi akan datang yang akan menanggung kesan baik buruknya. Biarkan kami cemerlang dalam pengajian kami masing-masing dahulu kerana itu adalah harapan setiap ibubapa.

Selepas tamat pengajian, InsyaAllah kami sebagai mahasiswa akan menilai dan memilih parti politik manakah yang akan kami sokong .Tapi berikan kami ruang dan peluang untuk menyiapkan diri kami dalam kampus tanpa gangguan dari luar kampus yang mungkin boleh merosakkan masa depan kami.


Ahmad Wafi Bin Sahedan
Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sidang 2009/2010
Merangkap
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
Universiti Sains Malaysia (USM)
Sidang 2009/2010

Friday, June 4, 2010

Mahasiswa Malaysia Kutuk Israel

Assalamualaikum, Salam sejahtera dan Salam Satu Malaysia..

Saya selaku Jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sidang 2009/2010 yang mewakili mahasiswa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dilakukan rejim Israel ke atas kapal Turki Mavi Marmara iaitu salah sebuah daripada beberapa buah kapal yang membawa aktivis misi kemanusiaan ke Gaza termasuk 11 rakyat Malaysia. Kapal-kapal tersebut hanya membawa keperluan asas seperti makanan, perubatan dan bahan binaan bagi keperluan rakyat Palestin. Serangan yang dilakukan ini menunjukkan bahawa rejim Israel seperti takut dengan bayangan mereka sendiri. Rejim Israel telah menyekat penghantaran bekalan bantuan ke Gaza selama lebih dua tahun.Penghantaran bekalan bantuan yang ingin dilakukan melalui darat telah pun disekat oleh rejim zionis tersebut. Mangsa yang telah terkorban adalah sekurang-kurangnya 19 orang dan berpuluh-puluh lagi mengalami kecederaan. Serangan tersebut sepatutnya tidak boleh dilakukan kerana ia telah menyalahi undang-undang antarabangsa kerana konvoi itu berada di perairan antarabangsa yang sepatutnya sebarang tindakan dalam bentuk ketenteraan tidak dibenarkan. Serangan yang dilakukan oleh Israel menggambarkan bahawa Israel tidak takut langsung dengan undang-undang antarbangsa. Jadi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) perlulah mengambil langkah yang wajar dengan mengadakan mesyuarat tergempar dalam kalangan anggota Majlis Keselamatan PBB termasuklah Amerika Syarikat.PBB perlulah mengenakn tindakan undang-undang terhadap rejim zionis yang semakin berleluasa.Hal ini kerana tindakan yang dilakukan oleh Israel ini adalah tindakan yang tidak boleh dimaafkan.Saya menyeru rakan-rakan mahasiswa untuk menyatakan perasaan benci terhadap rejim zionis ini dengan memboikot barangan rejim zionis.


Ahmad wafi bin sahedan
Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sidang 2009/2010.

Sunday, January 31, 2010

Amanah yang perlu dipikul....

Assalamualaikum dan Salam Aspirasi untuk mahasiswa bersatu....

Pilihan raya kampus USM bagi pemilihan MPP sidang 2009/2010 telah pun berakhir..Pengumuman keputusan PRK USM oleh TNC HEP pada 29.01.2010 telah menunjukkan saya berada di tempat kedua bagi konstituensi umum dengan undi sebanyak 2856 undi...Alhamdulillah....

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan di jentera induk dan rakan-rakan di jentera desa yang telah banyak membantu saya dalam berkempen pada PRK baru-baru ini.Jasa anda amat saya hargai..TERIMA KASIH.....

Saya amat terkejut apabila keputusan PRK diumumkan kerana saya menjangkakan yang saya akan berada di tangga nombor 4, 5 atau 6. Tetapi mahasiswa/i USM telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul amanah Sebagai ahli MPP USM sidang 2009/2010..Terima kasih kepada rakan-rakan yang menyokong saya...

Walaupun saya sedar yang terdapat segelintir pelajar tidak berpuas hati dengan saya, tetapi saya tidak akan lakukan diskriminasikan terhadap segelintir pelajar tersebut kerana amanah yang dipikul oleh saya adalah untuk menjga kebajikan mahasiswa/i USM. Saya dan rakan-rakan MPP yang lain akan mendengar masalah yang dikemukakan oleh mahasiswa/i USM.InsyaAllah, saya dan rakan-rakan MPP akan berusaha sedaya upaya kami untuk membantu mahasiswa/i USM dari segi kebajikan..

Saya memohon kepada mahasiswa/i USM untuk bersama-sama dengan MPP sidang 2009/2010 dalam menjunjung aspirasi universiti...

Jutaan terima kasih lagi sekali saya ucapakn kepada yang menyokong saya secara langsung atau tidak langsung dan saya mohon kemaafan jika sya pernah menyakitkan atau melukakan hati sesiapa pun dengan perbuatan atau percakapn...

salam aspirasi...

Saturday, January 2, 2010

Pilihan Raya Kampus

Assalamualaikum, salam 1 Malaysia dan salam aspirasi untuk mahasiswa bersatu....

Pilihan Raya Kampus (PRK) untuk pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar bagi sidang 2009/2010 dijangka akan berlaku dlm bulan Januari. Ramai yang masih tertanya-tanya bilakah tarikh sebenar PRK bagi tahun ini. Teka teki ini terus menghantui semua orang di uiversiti bukan sahaja mahasiswa/i malah staf-staf dan juga masyarakat di luar kampus.

Tetapi perkara yang menarik berkenaan PRK di USM ini ialah pertembungan antara Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa. Jentera bagi kedua-dua pihak dikhabarkan telah bersiap sedia dengan persediaan untuk 'berperang' pada PRK kali ini. Bagi kami di jentera Pro-Aspirasi, kami juga telah bersiap sedia dengan jentera dan juga calon-calon bagi mempertahankan majoriti kerusi yang dimenangi pada PRK yang lepas.

Kemenangan Pro-Aspirasi bermakna perjuangan untuk memastikan kebajikan mahasiswa/i yang masih belum selesai akan terus diperjuangkan. Terdapat pihak-pihak tertentu yang menganggap Pro-Aspirasi adalah pak turut kepada HEP.Saya menafikan perkara ini sekeras-kerasnya kerana kami Majlis Perwakilan Pelajar sidang 08/09 hanya akan bersetuju dengan pihak HEP tentang sesuatu perkara apabila ia mendatangkan manfaat dan kebaikkan kepada mahasiswa/i USM tetapi tidak akan bersetuju dengan pihak HEP jika sesuatu perkara tersebut tidak mendatangkan kebaikkan kepada mahasiswa/i USM.

Kami tidak menjadi pak turut kepada parti politik luar seperti terdapat pihak-pihak tertentu dalam USM. Perjuangan kami adalah untuk memastikan kebajikan mahasiswa/i USM terus terpelihara dan menjadi suara mahasiswa/i USM untuk isu-isu tertentu di dalam kampus atau di luar kampus..Sesungguhnya utamakan kepentingan rakan-rakan daripada kepentingan peribadi...

SAYA ASPIRASI
DIA ASPIRASI
KAMI ASPIRASI
SEMUA ASPIRASI

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...