Pages

Tuesday, October 26, 2010

Memorandum Pengecaman Penganjuran Festival Busana Muslim (IFF) di Las Vegas

MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (MPPK) MALAYSIA 2009/2010
Bilik Majlis Perwakilan Pelajar USM, 11800, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

Memorandum Pengecaman Penganjuran Festival Busana Muslim Atau Dikenali Sebagai Islamic Fashion Festival (IFF) di Las Vegas Kepada
Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung Festival Busana Islam.



Yang Amat Berbahagia Datin Paduka Seri,

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) merupakan satu platform yang mewakili seluruh kepimpinan mahasiswa di IPTA/IPTS dan platform ini diiktiraf oleh pihak kerajaan. Kami mewakili mahasiswa Malaysia ingin melahirkan rasa kecewa dan terkilan dengan penganjuran Festival Busana Muslim atau lebih dikenali sebagai Islamic Fashion Festival (IFF) di Las Vegas.

Penganjuran Islamic Fashion Festival (IFF) Gala Dinner and Fashion Show yang berlangsung di Monaco Sporting Club di Monte Carlo Las Vegas yang telah dirasmikan oleh YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansur pada 9 Ogos 2010. Dalam acara ini, pertunjukan fesyen yang kononnya mencerminkan fesyen Islam telah ditonjolkan dengan harapan untuk mengkomersialkan fesyen busana muslimah.


Kami memahami penganjuran ini bertujuan untuk mempromosikan cara pemakaian Islam kepada masyarakat dunia tetapi apa yang berlaku di Las Vegas merupakan penghinaan kepada umat Islam kerana ia telah menimbulkan fitnah dan memberikan imej yang buruk kepada umat Islam terutamanya golongan wanita Islam. Sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku jika pihak penganjur mengambil sikap berhati-hati sebelum festival ini berlangsung.

Persoalan tatacara berpakaian dalam Islam mempunyai disiplinnya yang tersendiri, tidak sekadar mengenakan kain ke tubuh badan sahaja. Disiplin dan pendefinisian aurat dalam bentuk tampak kulit, bentuk badan dan bertudung menutup rambut merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam mengembangkan fesyen 'Islamic'. Akan tetapi amat dikesalkan kerana pihak penganjur seakan-akan amat tidak berhati-hati dengan fesyen yang dipamerkan dan menimbulkan fitnah terhadap amalan berpakaian dalam Islam itu sendiri.


Jadi kami di barisan kepimpinan mahasiswa secara tegasnya mendesak pihak penganjur untuk meminta maaf secara terbuka kepada bukan sahaja umat Islam di Malaysia malah umat Islam di dunia atas penganjuran Festival Busana Islam yang telah berlangsung di Las Vegas. Kami berpendapat hal ini adalah untuk memastikan maruah wanita Islam terpelihara dan tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Secara prinsipnya, kami tidaklah menolak sebarang penganjuran festival yang ingin dianjurkan namun ianya haruslah dipastikan selari dengan syariat yang telah ditetapkan. Bahkan kami menyokong dan akan berusaha mempromosikan mana-mana festival islam yang berada diatas landasan syariat.Kami berharap perkara seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan kerana hal ini adalah berkaitan dengan sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.

Yang Benar,


AHMAD WAFI BIN SAHEDAN

Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
Sidang 2009/2010


Sk. YAB Dato' Seri Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Senator Mejar Jeneral(B) Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
( Hal Ehwal Agama Islam )

YB Datuk Seri Mohd Khaled Bin Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Datuk Raja Rezza Shah, Pengerusi Festival Fesyen Islam.

Prof Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Monday, October 18, 2010

Politik Baru Mahasiswa Kini

Parlimen Mahasiswa USM atau lebih dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar yang akan diadakan pada 23 hb Oktober 2010 telah mendapat perhatian oleh pelbagai pihak kerana ia adalah satu-satunya parlimen mahasiswa yang akan diadakan buat pertama kali di Malaysia. Percubaan Parlimen Mahasiswa USM yang diadakan pada 25 hb September 2010 telah berjaya mencapai objektifnya dan kini menunggu giliran untuk persidangan rasmi pada 23 hb Oktober 2010.

Parlimen mahasiswa USM terdiri daripada 58 ahli parlimen di mana 39 adalah exco Majlis Perwakilan Pelajar dan 19 ahli parlimen terdiri daripada pemimpin persatuan pelajar yang dipilih dalam kalangan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar. Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar USM secara automatik menjadi setiausaha Parlimen Mahasiswa USM seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Universiti.

Parlimen Mahasiswa USM ini mempunyai peraturan atau undang-undang tersendiri yang telah dicadangkan oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa dalam bengkel pembentukkan Parlimen Mahasiswa USM pada awal tahun ini. Peraturan-peraturan dalam parlimen ini adalah berkaitan dengan cara atau kaedah yang digunakan semasa parlimen bersidang.
Keistimewaan Parlimen Mahasiswa USM ini dapat kita lihat jika kita bandingkan Parlimen Mahasiswa USM dengan Parlimen Malaysia . Pertama, pemerhati-pemerhati yang berada dalam Parlimen Mahaiswa USM boleh mengambil bahagian dalam perbahasan semasa sesuatu isu sedang dibahaskan oleh ahli ahli dewan dengan kebenaran speaker. Kedua , dalam parlimen mahasiswa ini, tidak ada istilah pihak kerajaan atau pembangkang, semuanya berbincang atas kapasiti sebagai seorang pemimpin mahasiswa.
Berbeza dengan Parlimen Malaysia, kita mempunyai pihak kerajaan dan pihak pembangkang dalam parlimen.

Ramai yang mempertikaikan tentang kuasa yang ada pada parlimen mahasiswa ini, sehinggalah ada segelintir pihak mempertikaikan bahawa parlimen ini hanyalah sesuatu yang tidak berguna. Perlu diingatkan bahawa setiap binaan yang wujud memerlukan asas yang kukuh. Biarlah parlimen mahasiswa ini menjadi satu tapak permulaan bagi menaikkan roh suara mahasiswa supaya didengari oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan. Usaha ini adalah satu permulaan bagi memastikan mahasiswa pada hari ini melangkah ke hadapan sebagai membuktikan bahawa mahasiswa pada hari ini tidak lesu seperti tanggapan sesetengah pihak terhadap mahasiswa.

Pada pandangan saya, seharusnya negara kita juga mempunyai sebuah Parlimen Mahasiswa Malaysia sebagaimana yang telah dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia. Jika dilihat di beberapa buah negara seperti Pakistan, India, United Kingdom dan beberapa buah lagi negara, mereka mempunyai sebuah parlimen belia yang berfungsi menasihatkan pihak kerajaan dalam perkara-perkara berkaitan belia. Kewujudan parlimen mahasiswa Malaysia ini sangat penting kerana bak kata Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak “zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir”.

Parlimen Mahasiswa Malaysia ini boleh dilihat sebagai “Third Force” dalam negara kerana ia bakal mencorakkan politik baru dalam negara kerana partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara akan dapat dilihat melaluinya.Pastinya akan timbul pelbagai perkara apabila idea ini dilontarkan iaitu siapakah ahli-ahlinya? Bagaimanakah perjalanan parlimen mahasiswa Malaysia ini? dan pelbagai lagi.Bagi saya semua itu adalah persoalan kedua, persoalan pertama adalah apakah matlamat yang ingin dicapai daripada penubuhan parlimen Mahasiswa Malaysia ini? Sudah tentunya adalah untuk memastikan partisipasi mahasiswa dalam politik dan pembangunan negara.

Saya melihat ini adalah salah satu alternatif yang boleh diwujudkan jika ingin melihat partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara, bukannya dengan hanya membenarkan mahasiswa menyertai parti politik boleh memastikan partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara. Ini adalah idea yang saya lihat dapat memastikan partisipasi mahasiswa dalam agenda pembangunan negara. Pada hari ini mahasiswa sudah pun mempunyai platform Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, tetapi peredaran masa sentiasa akan menyebabkan perubahan akan berlaku.

Selain itu, jika kita lihat pada hari ini, jawatan senator diberikan kepada orang yang mempunyai kepentingan dalam suatu organisasi atau lapisan masyarakat. Jadi seharusnya pemimpin mahasiswa juga diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai senator tetapi seperti mana yang kita tahu terdapat beberapa syarat yang membataskan penglibatan mahasiswa sebagai senator terutamanya dari segi umur. Sebenarnya idea ini adalah daripada Tunku Abdul Rahman yang pernah mencadangkan supaya satu atau dua kerusi diperuntukkan kepada mahasiswa dalam perbahasan di Parlimen negara. Artikel ini ditulis pada 30 Disember 1974, kira-kira 36 tahun dahulu. Cadangan ini jelas menunjukkan beliau sangat menghormati dan melayani mahasiswa sebagai orang dewasa dan bukannya seperti kanak-kanak yang sentiasa diragui kewibawaannya.

Partisipasi mahasiswa dalam politik dan pembangunan negara bukanlah dengan hanya melihat penglibatan mahasiswa dengan parti politik tetapi boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lagi.Ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Mahasiswa pada hari ini berpeganglah dengan kata-kata “ Jangan tanyakan pada negara apa yang negara berikan pada kamu, tanyakan pada diri kamu, apa yang kamu berikan pada negara “.
Mahasiswa pada hari ini seharusnya berdiri atas platform mahasiswa bukannya diperkudakan dan digunakan oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan masing-masing.

Ahmad Wafi Bin Sahedan
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Malaysia
Sidang 2009/2010

Wednesday, October 13, 2010

USUL-USUL PARLIMEN MAHASISWA YANG AKAN DIBAHASKAN PADA 23 OKTOBER 2010

USUL 1
1. Perbelanjaan dan belanjawan kewangan semua jabatan USM harus diumumkan.
2. Wang Simpanan Universiti Dikhabarkan Tiada Tetapi Pembaziran Tetap Ada

USUL 2
1. Program universiti terlalu mendesak MPD mencari penglibatan penghuni
2. Program-program universiti

USUL 3
Penguatkuasaan Pemakaian Lanyard Semasa Memasuki Perpustakaan

USUL 4
Kekurangan bas untuk kegunaan HEP/Persatuan sahaja di Kampus Kejuruteraan

USUL 5
Permohonan Perkhidmatan Internet Berjalur Lebar Tinggi, “New Open Acess Network”

USUL 6
Kemudahan Prasarana Di Desasiswa Tidak Memuaskan

USUL 7
Persatuan Seni Mempertahankan Diri Tidak Dijadikan Sebagai Ko-Kurikulum

USUL 8
Pertandingan Yang Dianjurkan Oleh Kampus Induk Tidak Efisien.

USUL 9
Kemudahan Sukan Yang Tidak Memuaskan

USUL 10
Pilihan raya kampus perlu berasaskan parti atau berplatform.

USUL 11
Menuntut kerajaan negeri Pulau Pinang membenteras isu merempat dikalangan rakyat.

USUL 12
Mendesak parlimen negara Malaysia menggubal satu rang undang-undang berkenaan masalah “menghidu gam”.

USUL 13
Penggunaan ‘SECURITY CARD’ di kawasan Kompleks RST bagi mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta serta mengetatkan penggunaan kenderaan (kereta) terhadap pelajar.

USUL 14
Laluan sehala RST terus ke foyer DK W


USUL 15
Mahasiswa Berpolitik


USUL 16
Elaun kepada Ahli-ahli dalam Dewan Perundingan Pelajar


USUL 17
Penglibatan suara mahasiswa dalam penentuan dasar-dasar dan polisi-polisi universiti yang berkaitan dengan mahasiswa.

USUL 18
Menolak cadangan CUEPACS yang ingin melanjutkan usia persaraan penjawat awam dari 58 tahun kepada 60 tahun.

USUL 19
Mahasiswa dan Politik Kepartian

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...