Pages

Friday, November 19, 2010

Respon Terhadap Artikel " Mana Mahasiswa Bantu Mangsa Banjir"

Banjir yang melanda di beberapa kawasan di Kedah, Perlis dan Kelantan telah menyebabkan penduduk-penduduk di kawasan tersebut telah mengalami kerugian yang besar tidak kurangnya juga ada keluarga yang telah mengalami kematian ahli keluarga mereka. Banjir besar yang melanda ini adalah antara yang terburuk yang pernah dialami oleh rakyat Malaysia. Pihak kerajaan telah mengambil langkah dengan pantas dan segera dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang berada di Kedah dan Perlis.

Selepas itu, kita dapat melihat ramai pihak yang memberikan bantuan termasuklah Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga parti-parti politik. Usaha yang ditunjukkan ini menunjukkan bahawa kita walaupun berbeza ideologi tetapi apabila munculnya isu-isu yang berkaitan dengan kemanusiaan, kita akan bersatu.Tetapi satu persoalan telah ditimbulkan oleh saudara Jabdin Juhat pada artikel beliau dalam Sinar Harian yang bertarikh 18hb November pada muka surat N16 yang bertajuk “Mana Mahasiswa Bantu Mangsa Banjir” (http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8417852.asp ).

Saya begitu terkejut membaca artikel tersebut kerana ia menggambarkan mahasiswa pada hari ini seperti tidak melakukan apa2 terhadap isu-isu semasa yang berlaku di tanah air kita ini. Saya melihat terdapat dua perkara penting dalam artikel ini, yang pertama adalah berkaitan dengan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan yang kedua adalah berkaitan dengan isu banjir yang melanda kawasan utara baru-baru ini.

Persoalan pertama yang ditimbulkan adalah berkaitan dengan hala tuju Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sekarang. Saya tidak pasti sama ada saudara Jabdin ini membaca surat khabar ataupunmendapat sumber daripada pemimpin mahasiswa sendiri berkaitan tentang mesyuarat MPPK pada 6hb Ogos 2010 yang telah dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri sendiri iaitu Tan Sri Dato Haji Muhyiddin Yasin. Dalam mesyuarat tersebut terdapat lima kertas kerja yang telah dibentangkan kepada pihak kerajaan untuk pertimbangan iaitu “Siaran Televisyen Sebagai Medium Pembentukan Masyarakat” , "MBE: Satu Transformasi Ketidakbergantungan Mahasiswa" , "Pelan Transformasi Drastik Ke Arah Melahirkan Masyarakat Yang Sensitif Dan Cakna Isu-Isu Alam Sekitar" , "Transformasi Pendidikan Tinggi Ke Arah Graduan Berketerampilan" dan "Memperkasakan Program Pertukaran Pelajar - Outbound & Inbound".

Selain itu satu seminar iaitu Seminar Islamisasi Industri Hiburan 1 Malaysia yang berkaitan dengan islamisasi hiburan tanah air juga telah diadakan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Unisza dengan kerjasama MPPK pada bulan Oktober yang lepas. Selain itu, kami juga telah bersetuju untuk melakukan kutipan derma bagi membantu penduduk Palestin dan kutipan derma tersebut diserahkan mengikut universiti masing-masing. Kami juga ada menyuarakan kepada pihak-pihak kerajaan berkenaan isu-isu PTPTN, 1 Malaysia, Bajet 2011, mahasiswa berpolitik dan lain-lain lagi.Tetapi yang pastinya, apa yang kami lakukan ini bergantung juga kepada media untuk menyiarkan perkara-perkara yang dilakukan oleh kami ini.

Saya dan rakan-rakan pemimpin mahasiswa tersenyum apabila membaca tentang isu banjir dalam artikel tersebut . Dalam artikel tersebut menyatakan bahawa kami mahasiswa seperti tidak melakukan apa-apa untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Untuk pengetahuan semua, beberapa university telah menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis walaupun ada kekangan seperti masih dalam minggu peperiksaan dan pelbagai lagi. Universiti-universiti yang terlibat dalam menghantar sukarelawan-sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa ini seperti USM, UIA, USIM, UUM, Unimap, Uitm, UPM dan beberapa buah universiti lagi.Sebagai contoh Universiti Sains Malaysia telah menghantar sukarelawan seramai 120 orang walaupun masih dalam minggu peperiksaan pada 12-14 November baru-baru ini ke negeri Perlis. Universiti Islam Antarabangsa pula telah menghantar sukarelawan sebanyak dua bas pada tarikh yang sama ke kawasan sekitar Jitra dan Alor Star. Adakah ini menunjukkan kami tidak peka dengan keadaan sekeliling?

Saya mewakili kepimpinan mahasiswa berasa begitu terkilan dengan beberapa ayat dalam artikel saudara Jabdin yang memberikan gambaran negatif kepada semua mahasiswa. Pada pandangan saya, peranan media juga penting dalam hali ini. Jika saudara Jabdin mengatakan bahawa kami perlu berbakti supaya masyarakat dan kerajaan menghormati mahasiswa, saya juga ingin mengatakan kepada saudara supaya menghormati mahasiswa sebagai salah satu elemen penting dalam pembangunan negara pada masa hadapan.

Ahmad Wafi Bin Sahedan
Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sidang 2009/2010

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...