Pages

Monday, October 18, 2010

Politik Baru Mahasiswa Kini

Parlimen Mahasiswa USM atau lebih dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar yang akan diadakan pada 23 hb Oktober 2010 telah mendapat perhatian oleh pelbagai pihak kerana ia adalah satu-satunya parlimen mahasiswa yang akan diadakan buat pertama kali di Malaysia. Percubaan Parlimen Mahasiswa USM yang diadakan pada 25 hb September 2010 telah berjaya mencapai objektifnya dan kini menunggu giliran untuk persidangan rasmi pada 23 hb Oktober 2010.

Parlimen mahasiswa USM terdiri daripada 58 ahli parlimen di mana 39 adalah exco Majlis Perwakilan Pelajar dan 19 ahli parlimen terdiri daripada pemimpin persatuan pelajar yang dipilih dalam kalangan pemimpin-pemimpin persatuan pelajar. Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar USM secara automatik menjadi setiausaha Parlimen Mahasiswa USM seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Universiti.

Parlimen Mahasiswa USM ini mempunyai peraturan atau undang-undang tersendiri yang telah dicadangkan oleh pemimpin-pemimpin mahasiswa dalam bengkel pembentukkan Parlimen Mahasiswa USM pada awal tahun ini. Peraturan-peraturan dalam parlimen ini adalah berkaitan dengan cara atau kaedah yang digunakan semasa parlimen bersidang.
Keistimewaan Parlimen Mahasiswa USM ini dapat kita lihat jika kita bandingkan Parlimen Mahasiswa USM dengan Parlimen Malaysia . Pertama, pemerhati-pemerhati yang berada dalam Parlimen Mahaiswa USM boleh mengambil bahagian dalam perbahasan semasa sesuatu isu sedang dibahaskan oleh ahli ahli dewan dengan kebenaran speaker. Kedua , dalam parlimen mahasiswa ini, tidak ada istilah pihak kerajaan atau pembangkang, semuanya berbincang atas kapasiti sebagai seorang pemimpin mahasiswa.
Berbeza dengan Parlimen Malaysia, kita mempunyai pihak kerajaan dan pihak pembangkang dalam parlimen.

Ramai yang mempertikaikan tentang kuasa yang ada pada parlimen mahasiswa ini, sehinggalah ada segelintir pihak mempertikaikan bahawa parlimen ini hanyalah sesuatu yang tidak berguna. Perlu diingatkan bahawa setiap binaan yang wujud memerlukan asas yang kukuh. Biarlah parlimen mahasiswa ini menjadi satu tapak permulaan bagi menaikkan roh suara mahasiswa supaya didengari oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan. Usaha ini adalah satu permulaan bagi memastikan mahasiswa pada hari ini melangkah ke hadapan sebagai membuktikan bahawa mahasiswa pada hari ini tidak lesu seperti tanggapan sesetengah pihak terhadap mahasiswa.

Pada pandangan saya, seharusnya negara kita juga mempunyai sebuah Parlimen Mahasiswa Malaysia sebagaimana yang telah dilakukan oleh Universiti Sains Malaysia. Jika dilihat di beberapa buah negara seperti Pakistan, India, United Kingdom dan beberapa buah lagi negara, mereka mempunyai sebuah parlimen belia yang berfungsi menasihatkan pihak kerajaan dalam perkara-perkara berkaitan belia. Kewujudan parlimen mahasiswa Malaysia ini sangat penting kerana bak kata Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak “zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir”.

Parlimen Mahasiswa Malaysia ini boleh dilihat sebagai “Third Force” dalam negara kerana ia bakal mencorakkan politik baru dalam negara kerana partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara akan dapat dilihat melaluinya.Pastinya akan timbul pelbagai perkara apabila idea ini dilontarkan iaitu siapakah ahli-ahlinya? Bagaimanakah perjalanan parlimen mahasiswa Malaysia ini? dan pelbagai lagi.Bagi saya semua itu adalah persoalan kedua, persoalan pertama adalah apakah matlamat yang ingin dicapai daripada penubuhan parlimen Mahasiswa Malaysia ini? Sudah tentunya adalah untuk memastikan partisipasi mahasiswa dalam politik dan pembangunan negara.

Saya melihat ini adalah salah satu alternatif yang boleh diwujudkan jika ingin melihat partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara, bukannya dengan hanya membenarkan mahasiswa menyertai parti politik boleh memastikan partisipasi mahasiswa dalam pembangunan negara. Ini adalah idea yang saya lihat dapat memastikan partisipasi mahasiswa dalam agenda pembangunan negara. Pada hari ini mahasiswa sudah pun mempunyai platform Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, tetapi peredaran masa sentiasa akan menyebabkan perubahan akan berlaku.

Selain itu, jika kita lihat pada hari ini, jawatan senator diberikan kepada orang yang mempunyai kepentingan dalam suatu organisasi atau lapisan masyarakat. Jadi seharusnya pemimpin mahasiswa juga diberikan kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai senator tetapi seperti mana yang kita tahu terdapat beberapa syarat yang membataskan penglibatan mahasiswa sebagai senator terutamanya dari segi umur. Sebenarnya idea ini adalah daripada Tunku Abdul Rahman yang pernah mencadangkan supaya satu atau dua kerusi diperuntukkan kepada mahasiswa dalam perbahasan di Parlimen negara. Artikel ini ditulis pada 30 Disember 1974, kira-kira 36 tahun dahulu. Cadangan ini jelas menunjukkan beliau sangat menghormati dan melayani mahasiswa sebagai orang dewasa dan bukannya seperti kanak-kanak yang sentiasa diragui kewibawaannya.

Partisipasi mahasiswa dalam politik dan pembangunan negara bukanlah dengan hanya melihat penglibatan mahasiswa dengan parti politik tetapi boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah lagi.Ini adalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Mahasiswa pada hari ini berpeganglah dengan kata-kata “ Jangan tanyakan pada negara apa yang negara berikan pada kamu, tanyakan pada diri kamu, apa yang kamu berikan pada negara “.
Mahasiswa pada hari ini seharusnya berdiri atas platform mahasiswa bukannya diperkudakan dan digunakan oleh mana-mana pihak yang mempunyai agenda dan kepentingan masing-masing.

Ahmad Wafi Bin Sahedan
Yang Dipertua
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Sains Malaysia
Sidang 2009/2010

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...