Pages

Friday, January 21, 2011

Parlimen Mahasiswa Satu Harapan

Parlimen Mahasiswa Malaysia menjadi satu impian mahasiswa sebagai satu platform kepada mahasiswa untuk menggabungkan suara kepimpinan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan mahasiswa berkenaan isu-isu yang berkaitan mahasiswa dan juga negara.Parlimen ini juga dilihat sebagai satu transformasi untuk mengubah kerangka politik mahasiswa sekarang kepada kerangka politik yang baru.

Kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini pastinya akan membentuk satu budaya baru dalam kalangan mahasiswa iaitu perbahasan secara intelektual tanpa dipengaruhi sentimen politik dan emosi. Golongan mahasiswa pada hari ini perlu sedar bahawa mereka adalah golongan ketiga ataupun "Third Force" dalam negara ini iaitu golongan yang neutral dan bebas untuk mengkritik mana-mana pihak tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.Pandangan yang ingin dikeluarkan oleh Parlimen Mahasiswa ini perlulah melalui perbahasan secara intelektual terlebih dahulu bagi menunjukkan kematangan mahasiswa dalam melihat sesuatu isu.

Saya dan sahabat-sahabat melihat perkara ini dengan serius memandangkan pelbagai persepsi yang mengatakan mahasiswa pada hari sebagai "mahasiswa lesu" walhal penilaian yang dilakukan terhadap mahasiswa ini tidak adil dan berat sebelah. Jadi, pada 19hb Disember 2010, bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM),saya telah mencadangkan kepada sahabat-sahabat saya satu cadangan iaitu berkenaan penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia dalam Mesyuarat Jemaah YDP/Presiden Majlis Perwakilan Pelajar IPTA Se-Malaysia kali ke-5 yang diadakan. Cadangan ini dibincangkan dengan serius tanpa dipengaruhi oleh elemen emosi dalam mesyuarat tersebut.

Jadi, kami mengambil kata sepakat untuk menghantar kertas cadangan Parlimen Mahasiswa Malaysia kepada kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dipertimbangkan cadangan ini. Secara asasnya, sruktur Parlimen Mahasiswa Malaysia ini akan melibatkan beberapa pihak yang mempunyai peranan atau fungsi yang khusus.Pertama, Yang Dipertua-Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar dari IPTA akan dilibatkan sebagai ahli dalam Parlimen Mahasiswa Malaysia kerana mereka adalah pemimpin utama mahasiswa di setiap universiti masing-masing.Walaubagaimanapun, Yang Dipertua-Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar dari IPTS juga akan dilibatkan sebagai mewakili mahasiswa dari IPTS. Selain itu, ahli Majlis Siswi Nasional (MASISNA) setiap universiti juga akan diberikan tempat sebagai ahli dalam Parlimen Mahasiswa Malaysia tersebut.Kami juga melihat kepentingan setiap Pengerusi Anak-ank Negeri Kebangsaan untuk terlibat dalam Parlimen Mahasiswa Malaysia bagi mengukuhkan suara mahasiswa melalui Parlimen Mahasiswa Malaysia.

Pada 17hb Januari 2011 di PICC, dalam Amanat Tahun Baru Kementerian Pengajian Tinggi 2011, YB Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyatakan bahawa beliau menggalakkan penubuhan Parlimen Mahasiswa di setiap IPT terlebih dahulu seperti Universiti Sains Malaysia sebelum dilakukan di peringkat kebangsaan.Ini adalah tanda-tanda positif daripada pihak kerajaan dalam mengiktiraf suara mahasiswa dan juga menunjukkan sifat keterbukaan pihak kerajaan dalam mendengar cadangan mahasiswa. Saya secara peribadi ingin menyeru supaya mahasiswa dan juga pihak universiti di IPT masing-masing untuk menyahut seruan YB Menteri Pengajian Tinggi dalam menubuhkan Parlimen Mahasiswa di IPT masing-masing.

Pihak univerisiti perlulah memberikan peluang ini kepada mahasiswa untuk menubuhkan parlimen mahasiswa di setiap IPT masing-masing.Sifat keterbukaan pihak universiti sangat diperlukan dalam penubuhan parlimen mahasiswa kerana pihak universiti tidak perlu takut dengan kewujudan parlimen mahasiswa ini keranakita perlu ingat bahawa YAB Perdana Menteri pernah berkata "Zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir".Di pihak mahasiswa pula, kita perlulah menggunakan platform ini sebaik-baiknya, janganlah melibatkan unsur-unsur politik dan emosi dalam perbahasan dalam parlimen mahasiswa ini.Jika kita ingin orang menghormati kita sebagai golongan intelektual, kita perlulah menunjukkan kematangan tinggi dalam menangani sesuatu isu kerana menggunakan jalan raya adalah platform yang kurang sesuai dengan golongan mahasiswa.

Kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini pastinya tidak akan bercanggah dengan fungsi atau peranan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan(MPPK) , Jemaah Yang Dipertua/Presiden MPP Se-Malaysia dan juga Majlis Siswi Nasional(MASISNA). Hal ini kerana setiap satunya mempunyai asas yang berbeza antara satu sama lain dan entiti-entiti ini masih relevan dan mempunyai peranan khusus masing-masing.

Diharapkan kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia pada suatu hari akan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai kualiti tinggi, berfikiran kritis dan idealis sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan; serta yang paling penting dan yang paling penting ialah sebagai satu pengiktirafan suara mahasiswa dalam penggubalan dasar-dasar universiti dan negara.

Sesungguhnya, satu transformasi perlu dilakukan ke atas kerangka politik mahasiswa yang masih dibelenggu dengan pemikiran dan tindakan yang tidak menggambarkan mahasiswa sebagai golongan intelektual perlulah dilakukan. Jemaah YDP/Presiden MPP IPTA Se-Malaysia melihat kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia sebagai satu kaedah yang lebih tepat dengan mahasiswa sebagai golongan intelektual.Biarkan Parlimen Mahasiswa ini menjadi satu platform perbincangan mengenai keadaan politik,ekonomi dan sosial dalam negara selain isu-isu mahasiswa.

Tetapi penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini memerlukan usaha dan kerjasama daripada semua pihak termasuklah mahasiswa, pihak universiti , Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Kerajaan Malaysia dalam memastikan penubuhan parlimen ini berjaya.Kita tidak perlu berbicara tentang transformasi dan perubahan jika kita tidak berani untuk mengambil tindakan dalam mengubah sesuatu perkara. Mahasiswa perlulah bersatu hati dan bersama-sama dalam satu gerakan tanpa dipengaruhi sentimen politik dan emosi dalam memastikan penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini berjaya.

"Mahasiswa Bersatu Demi Malaysia"

Ahmad Wafi Bin Sahedan (YDP MPPUSM)
Pengerusi
Jemaah Yang Dipertua/Presiden
Majlis Perwakilan Pelajar
Se-Malaysia.

Saturday, January 1, 2011

Mahasiswa Tahun 2010 dan Azam Baru tahun 2011

Kita melangkah masuk ke Tahun 2011 dengan satu harapan baru dan kita tinggalkan Tahun 2010 dengan pelbagai peristiwa manis dan pahit yang mungkin kita tidak dapat lupakan. Sebagai seorang yang telah berkecimpung dalam kepimpinan mahasiswa sejak dari tahun 1 sehinggalah tahun 3 iaitu tahun akhir, saya melihat tahun 2010 sebagai tahun yang sangat mencabar bagi saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa. Dalam tahun 2010, pelbagai peristiwa yang manis dan pahit telah melanda diri saya sebagai seorang pemimpin mahasiswa.

Sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM sidang akademik 2009/2010, saya dan sahabat-sahabat MPP yang lain telah bersama-sama dalam memastikan dua aspek yang berkaitan dengan mahasiswa berjalan dengan lancar iaitu kebajikan mahasiswa dan juga program-program universiti. Pelbagai perkara yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa telah berjaya diselesaikan seperti isu buku teks, isu kafeteria dan ada juga yang sedang menanti untuk diselesaikan.

Program-program universiti yang telah diadakan ialah seperti Karnival Tahun Baru Cina, sesi penerangan Model Baru Ekonomi (MBE) oleh VC, National Research and Innovation Competition (NRIC), Kempen Tangisan Jiwa, CONVEX, program solat hajat perdana sempena peperiksaan dan lain-lain lagi. Parlimen mahasiswa USM juga bersidang buat kali pertama dalam sejarah pada bulan Oktober 2010.

Selain itu, saya juga telah terlibat dalam pembentukkan beberapa sekretariat. Pertama adalah Majlis YDP-YDP Majlis Penghuni Desasiswa(MPD) yang mana menggabungkan YDP setiap MPD dalam majlis ini an dipengerusikan oleh saudara Idzuan.Ini adalah usaha MPP untuk memastikan MPD bersama-sama dengan MPP dalam menyelesaikan kebajikan mahasiswa di desasiswa. Selain itu, pembentukkan Sekretariat Anak-Anak Negeri yang menggabungkan semua anak-anak negeri juga berperanan dalam menjaga kebajikan mahasiswa dari negeri masing-masing.Ia telah dipengerusikan oleh saudara Akif. Pembentukkan Sekretariat Persatuan Pusat Pengajian adalah langkah yang diambil oleh pihak MPP dalam memastikan akademik mahasiswa dalam keadaan cemerlang dan dipengerusikan oleh saudara Faris Hakim.Ketiga-tiga sekretariat ini bukanlah berada di bawah MPP tapi bersama MPP dalam melancarkan kebajikan mahasiswa.

Di peringkat kebangsaan, saya telah dipilih untuk menjadi Jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dan juga Pengerusi Jemaah YDP/Presiden MPP IPTA Malaysia bagi sidang akademik 2010/2011.Ini bukanlah satu tugas yang mudah kerana amanah ini sangat berat untuk dipikul tetapi atas sokongan sahabat-sahabat YDP/Presiden,saya dan sahabat-sahabat tetap teguh berdiri. Walaupun ramai pihak menganggap kami sebagai lesu hakikatnya kami bukanlah lesu seperti yang diperkatakan, kami tetap terus berjuang kerana kami sedar berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Pelbagai isu yang telah dihadapi oleh saya dan sahabat-sahabat seperti isu mahasiswa berpolitik, isu kenaikan harga barang sehinggalah isu militan di IPT.Isu mahasiswa berpolitik adalah isu yang paling panas diperkatakan. Secara peribadi, saya kurang bersetuju penglibatan mahasiswa dalam parti politik pada waktu sekarang ini.Walaupun saya dihentam oleh pihak-pihak tertentu tetapi itu adalah lumrah sebagai seorang pemimpin. Saya dan sahabat-sahabat lain berpendapat kenaikan harga barang ini perlulah dipastikan tidak membebankan golongan terkebawah atau ‘bottom billion’.

Selain itu, kami juga membantah tindakan penganjur Islamic Fashion Festival (IFF) di Monaco yang mana dilihat mencemarkan cara pemakaian muslim dan muslimah.Walaubagaimanapun, saya tidaklah membantah penganjuran IFF di mana-mana negara tetapi perlulah mengikuti disiplin yang telah ditetapkan.Ada segelintir pihak mengatakan bahawa IPT adalah tempat merekrut militan, saya secara tegas membantah tindakan ini yang mana saya lihat tidak ada bukti atau angka yag tepat tentang isu tersebut.

Selain itu, isu pembuangan bayi juga telah menyebabkan saya telah memohon sahabat-sahabat YDP/Presiden untuk mengadakan kempen kesedaran tentang pembuangan bayi di dalam kampus dan juga masyarakat di sekitar luar kampus.Contoh di sebelah zon utara, USM, UNIMAP dan UUM telah bekerjasama untuk mengadakan kempen kesedaran yang dinamakan Kempen Tangisan Jiwa di sekitar Pulau Pinang.

Isu Gaza juga menjadi mendapat tumpuan saya dan sahabat-sahabat. Kami sebulat suara untuk mengadakan kutipan derma di setiap universiti bagi mebantu saudara Islam kita yang berada di Gaza.Bantuan ini disalurkan kepada yang memerlukan di Gaza. Isu rusuhan segelintir rakyat Indonesia di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga telah menyebabkan saya telah menghantar surat kepada Duta Besar Indonesia di Kuala Lumpur untuk menyatakan bantahan kepada tindakan segelintir rakyat Indonesia yang membakar bendera Malaysia dan melemparkan najis ke dalam kedutaan Malaysia.


Saya juga melihat mesyuarat MPPK , Konvesyen MPP dan juga Kursus Pengurusan Organisasi(KPO) perlulah diperbaiki dari segi masa dan juga pengisian tersebut. Mesyuarat Jemaah YDP/Presiden MPP baru-baru ini di UTM, menetapkan untuk mencadangkan Parlimen Mahasiswa Malaysia kepada YB Menteri, Datuk Seri Mohamed Khaled Noordin untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Kemudian, satu mesyuarat yang khusus perlu diadakan untuk mebincangkan perkara ini.Penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia dapat dilihat sebagai satu transformasi politik mahasiswa
dari takuk lama kepada dimensi baru. Ia akan meluaskan partisipasi mahasiswa dalam membantu kerajaan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan mahasiswa.

Berakhirnya tahu 2010, pastinya akan mengukir seribu kenangan manis dan pahit dalam diri setiap orang.Pastinya tahun 2010 akan dijadikan pengajaran dan iktibar dan pada tahun 2011 ini dijadikan sebagai tahun untuk mencapai kecemerlangan. Mahasiswa pada hari ini perlulah menjadi satu golongan bebas dan tidak perlu dikongkong oleh mana-mana pihak. Mahasiswa pada hari ini perlulah,rasional, realistik dan juga toleransi.


AHMAD WAFI BIN SAHEDAN 1.11.11 1.11am

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...