Pages

Friday, January 21, 2011

Parlimen Mahasiswa Satu Harapan

Parlimen Mahasiswa Malaysia menjadi satu impian mahasiswa sebagai satu platform kepada mahasiswa untuk menggabungkan suara kepimpinan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan mahasiswa berkenaan isu-isu yang berkaitan mahasiswa dan juga negara.Parlimen ini juga dilihat sebagai satu transformasi untuk mengubah kerangka politik mahasiswa sekarang kepada kerangka politik yang baru.

Kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini pastinya akan membentuk satu budaya baru dalam kalangan mahasiswa iaitu perbahasan secara intelektual tanpa dipengaruhi sentimen politik dan emosi. Golongan mahasiswa pada hari ini perlu sedar bahawa mereka adalah golongan ketiga ataupun "Third Force" dalam negara ini iaitu golongan yang neutral dan bebas untuk mengkritik mana-mana pihak tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.Pandangan yang ingin dikeluarkan oleh Parlimen Mahasiswa ini perlulah melalui perbahasan secara intelektual terlebih dahulu bagi menunjukkan kematangan mahasiswa dalam melihat sesuatu isu.

Saya dan sahabat-sahabat melihat perkara ini dengan serius memandangkan pelbagai persepsi yang mengatakan mahasiswa pada hari sebagai "mahasiswa lesu" walhal penilaian yang dilakukan terhadap mahasiswa ini tidak adil dan berat sebelah. Jadi, pada 19hb Disember 2010, bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM),saya telah mencadangkan kepada sahabat-sahabat saya satu cadangan iaitu berkenaan penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia dalam Mesyuarat Jemaah YDP/Presiden Majlis Perwakilan Pelajar IPTA Se-Malaysia kali ke-5 yang diadakan. Cadangan ini dibincangkan dengan serius tanpa dipengaruhi oleh elemen emosi dalam mesyuarat tersebut.

Jadi, kami mengambil kata sepakat untuk menghantar kertas cadangan Parlimen Mahasiswa Malaysia kepada kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dipertimbangkan cadangan ini. Secara asasnya, sruktur Parlimen Mahasiswa Malaysia ini akan melibatkan beberapa pihak yang mempunyai peranan atau fungsi yang khusus.Pertama, Yang Dipertua-Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar dari IPTA akan dilibatkan sebagai ahli dalam Parlimen Mahasiswa Malaysia kerana mereka adalah pemimpin utama mahasiswa di setiap universiti masing-masing.Walaubagaimanapun, Yang Dipertua-Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar dari IPTS juga akan dilibatkan sebagai mewakili mahasiswa dari IPTS. Selain itu, ahli Majlis Siswi Nasional (MASISNA) setiap universiti juga akan diberikan tempat sebagai ahli dalam Parlimen Mahasiswa Malaysia tersebut.Kami juga melihat kepentingan setiap Pengerusi Anak-ank Negeri Kebangsaan untuk terlibat dalam Parlimen Mahasiswa Malaysia bagi mengukuhkan suara mahasiswa melalui Parlimen Mahasiswa Malaysia.

Pada 17hb Januari 2011 di PICC, dalam Amanat Tahun Baru Kementerian Pengajian Tinggi 2011, YB Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyatakan bahawa beliau menggalakkan penubuhan Parlimen Mahasiswa di setiap IPT terlebih dahulu seperti Universiti Sains Malaysia sebelum dilakukan di peringkat kebangsaan.Ini adalah tanda-tanda positif daripada pihak kerajaan dalam mengiktiraf suara mahasiswa dan juga menunjukkan sifat keterbukaan pihak kerajaan dalam mendengar cadangan mahasiswa. Saya secara peribadi ingin menyeru supaya mahasiswa dan juga pihak universiti di IPT masing-masing untuk menyahut seruan YB Menteri Pengajian Tinggi dalam menubuhkan Parlimen Mahasiswa di IPT masing-masing.

Pihak univerisiti perlulah memberikan peluang ini kepada mahasiswa untuk menubuhkan parlimen mahasiswa di setiap IPT masing-masing.Sifat keterbukaan pihak universiti sangat diperlukan dalam penubuhan parlimen mahasiswa kerana pihak universiti tidak perlu takut dengan kewujudan parlimen mahasiswa ini keranakita perlu ingat bahawa YAB Perdana Menteri pernah berkata "Zaman kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir".Di pihak mahasiswa pula, kita perlulah menggunakan platform ini sebaik-baiknya, janganlah melibatkan unsur-unsur politik dan emosi dalam perbahasan dalam parlimen mahasiswa ini.Jika kita ingin orang menghormati kita sebagai golongan intelektual, kita perlulah menunjukkan kematangan tinggi dalam menangani sesuatu isu kerana menggunakan jalan raya adalah platform yang kurang sesuai dengan golongan mahasiswa.

Kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini pastinya tidak akan bercanggah dengan fungsi atau peranan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan(MPPK) , Jemaah Yang Dipertua/Presiden MPP Se-Malaysia dan juga Majlis Siswi Nasional(MASISNA). Hal ini kerana setiap satunya mempunyai asas yang berbeza antara satu sama lain dan entiti-entiti ini masih relevan dan mempunyai peranan khusus masing-masing.

Diharapkan kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia pada suatu hari akan dapat melahirkan mahasiswa yang mempunyai kualiti tinggi, berfikiran kritis dan idealis sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan; serta yang paling penting dan yang paling penting ialah sebagai satu pengiktirafan suara mahasiswa dalam penggubalan dasar-dasar universiti dan negara.

Sesungguhnya, satu transformasi perlu dilakukan ke atas kerangka politik mahasiswa yang masih dibelenggu dengan pemikiran dan tindakan yang tidak menggambarkan mahasiswa sebagai golongan intelektual perlulah dilakukan. Jemaah YDP/Presiden MPP IPTA Se-Malaysia melihat kewujudan Parlimen Mahasiswa Malaysia sebagai satu kaedah yang lebih tepat dengan mahasiswa sebagai golongan intelektual.Biarkan Parlimen Mahasiswa ini menjadi satu platform perbincangan mengenai keadaan politik,ekonomi dan sosial dalam negara selain isu-isu mahasiswa.

Tetapi penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini memerlukan usaha dan kerjasama daripada semua pihak termasuklah mahasiswa, pihak universiti , Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Kerajaan Malaysia dalam memastikan penubuhan parlimen ini berjaya.Kita tidak perlu berbicara tentang transformasi dan perubahan jika kita tidak berani untuk mengambil tindakan dalam mengubah sesuatu perkara. Mahasiswa perlulah bersatu hati dan bersama-sama dalam satu gerakan tanpa dipengaruhi sentimen politik dan emosi dalam memastikan penubuhan Parlimen Mahasiswa Malaysia ini berjaya.

"Mahasiswa Bersatu Demi Malaysia"

Ahmad Wafi Bin Sahedan (YDP MPPUSM)
Pengerusi
Jemaah Yang Dipertua/Presiden
Majlis Perwakilan Pelajar
Se-Malaysia.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...