Pages

Monday, March 14, 2011

Kisah 12 Mac 2011 di KUIS

Kisah 12 Mac 2011 di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS)

Kongres Mahasiswa kali ke-2 yang telah dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan juga Pro-M Nasional bertempat di Kolej Universiti Islam Selangor telah mendapat sambutan ‘hangat’ apabila telah dihadiri seramai 200-300 orang. Jemputan mereka juga bukanlah calang-calang ‘orang’ iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang, YB Azmin Ali , Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) , Shamsul Iskandar , Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan jemputan-jemputan lain. Nampaknya pembangkang sangat memberikan ‘sokongan’ kepada SMM dan Pro-M Nasional.

Pengisian dalam kongres ini lebih terarah kepada pembentukkan jawatankuasa Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan juga pembentukkan saf kepimpinan baru Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Selain itu Pengerusi Pro-M Nasional, saudara Taufiq Abdullah dan juga Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), saudara Shazni Munir memberikan ucapan dan juga membuka kepada perbahasan beberapa usul. Secara peribadi saya selaku mantan Pengerusi Majlis Perundingan Kebangsaan (MPPK) sidang 2009/2010 bersama-sama sahabat-sahabat yang lain tidak sedar akan kewujudan Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) sewaktu zaman kami memimpin.Adakah ia sekadar atas nama atau ia bergerak secara sulit?Saya dan sahabat-sahabat lain pun tidak tahu.

Saya begitu terkejut apabila salah seorang yang diperkenalkan dalam Jawatankuasa MPMN ialah saudari Masturah dari Universiti Malaya (UM). Saya dikhabarkan bahawa kes beliau di ‘culik’ masih belum selesai.Saya nasihatkan kepada saudari Masturah untuk selesaikan kes saudari di ‘culik’ dahulu sebelum saudari ingin melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Beberapa nama yang diperkenalkan ialah Saudara Syahid dari UM, saudara Ikram dari UKM, saudara Syafiq dari UPM, saudara Zaim dari UKM dan juga saudari Arisya dari UPM. Bagi saya MPMN tidak mewakili mahasiswa kerana platform Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) adalah satu platform yang rasmi dan juga mewakili Majlis Perwakilan Pelajar di IPTA/IPTS. Ini adalah hakikat yang tidak boleh ditolak oleh mana-mana pihak.

Beberapa usul telah dibincangkan dan dibahaskan oleh para peserta kongres dalam kongres tersebut. Pertama ialah berkaitan dengan Pro-M telah mengatakan bahawa mereka telah menang di kebanyakkan kampus walhal mereka hanya menang di UM, UIA dan UKM. Ini adalah fakta yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Jadi kepada Pro-M, janganlah nak ‘claim’ dengan mengatakan anda telah menguasai kebanyakkan kampus di Malaysia. Hakikatnya, anda hanya menguasai 3 universiti awam sahaja. Aspirasi masih lagi diterima oleh masyarakat kampus di kebanyakkan kampus.



Selain itu, ada usul yang mengatakan bahawa Pro-M perlu dikuatkan lagi di luar Lembah Klang. Nampaknya, mereka akan cuba masuk ke dalam universiti-universiti awam yang bukan berada di luar Lembah Klang. Jadi kepada sahabat-sahabat yang berada di universiti awam yang berada di luar Lembah Klang perlu bersiap sedia untuk menerima kehadiran mereka yang hadir tanpa diundang ini.

Usul ini sangat menarik perhatian saya iaitu mahasiswa perlu sambut revolusi yang berlaku di Negara-negara di Timur Tengah dengan menjadikan revolusi yang berlaku sebagai aspirasi perjuangan mereka. Apakah yang dimaksudkan dengan menyambut revolusi yang berlaku di Negara-negara di Timur Tengah? Apakah yang mereka ingin lawan sebenarnya? Jika disebut tentang Pilihan Raya Kampus yang tidak telus, isu yang selalu dimainkan oleh Pro-M dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi nampaknya tahun ini, Pilihan Raya Kampus telah menjadi telus kerana Pro-M telang menang di UIA, UM dan UKM. Isu e-voting tidak pula dibangkitkan pada tahun ini kerana mungkin Pro-M telah menang dan terbukti ketelusan sistem e-voting. Apakah pendirian Pro-M Nasional terutamanya berkenaan isu-isu ini?Diam membisu sahaja.

Saya memberikan pesanan kepada Pro-M Nasional ataupun MPMN supaya anda tidak ‘claim’ bahawa anda mewakili mahasiswa di seluruh Malaysia kerana mengikut demokrasi, anda tidak pun mewakili mahasiswa Malaysia tetapi anda hanya mewakili Pro-M sahaja. Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sebenarnya yang mewakili mahasiswa di Malaysia.
SATU MAHASISWA SATU MALAYSIA

AHMAD WAFI BIN SAHEDAN
Mantan Jurucakap
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)
Sidang akademik 2009/2010

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...