Pages

Wednesday, October 26, 2011

Krisis Aziz Bari di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

Kematangan pemikiran mahasiswa dalam berfikir sentiasa diperdebatkan oleh pelbagai pihak dan pada hari Jumaat yang lepas bertarikh 21hb Oktober 2011 di Masjid UIA telah menimbulkan seribu satu persoalan berkenaan kematangan pemikiran segelintir mahasiswa yang digelar sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Tindakan mereka yang mengadakan demonstrasi selepas Solat Jumaat bertujuan kononnya ingin “memperjuangkan” nasib Profesor Aziz Bari, seorang pensyarah undang-undang di UIA.

Dalam kes Profesor Aziz Bari, pihak SMM tidak dapat memahami kes tersebut dengan baik dan terus membuat keputusan untuk mengadakan demonstrasi tanpa memikirkan kaedah yang masih wujud untuk “memperjuangkan” Profesor Aziz Bari. Demonstrasi yang telah diadakan pada hari Jumaat lepas tidak memberikan apa-apa faedah tetapi timbul enam perkara yang telah menjadi keraguan kepada saya hasil daripada demonstrasi tersebut.

Pertama, Prof Aziz Bari dikatakan telah “digantung” kesan daripada pandangan beliau yang menyentuh tentang titah Sultan Selangor yang menyampaikan titah berkenaan isu murtad Damansara Utara Methodist Church(DUMC). Kita perlu ingat bahawa ia bukanlah “digantung” tetapi Profesor Aziz Bari diberikan masa untuk memberikan penjelasan dan menjawab semula tuduhan yang dikenakan ke atas beliau kepada pihak pentadbiran universiti. Kita perlu ingat ini adalah sebahagian daripada proses sebelum keputusan dibuat oleh pihak universiti. Hal ini bermaksud keputusan belum dibuat lagi tetapi pemahaman proses inilah yang gagal difahami oleh pihak SMM dan rakan-rakannya.

Kedua, semasa demonstrasi diadakan di kawasan Masjid UIA, demonstrasi ini bukanlah diketuai oleh mahasiswa UIA tetapi diketuai oleh orang luar iaitu Pengerusi SMM yang bukan mahasiswa UIA. Persoalan ini timbul kerana berita telah tersebar bahawa beribu-ribu mahasiswa UIA mengadakan demonstrasi untuk menyokong Profesor Aziz Bari. Kenyataan ini adalah salah sama sekali kerana pihak SMM telah menggunakan strategi untuk mengadakan demonstrasi selepas Solat Jumaat supaya kelihatan ramai mahasiswa UIA yang mengambil bahagian dalam demonstrasi tersebut. Sebenarnya, lebih ramai yang memerhatikan daripada yang terlibat dengan demonstrasi tersebut.

Ketiga, penglibatan ahli politik pembangkang yang hadir ke Masjid UIA dalam percubaan untuk menyertai demonstrasi tersebut. Seharusnya, tidak ada mana-mana pihak termasuk ahli politik yang mengambil kesempatan dengan menjadi “Hero” dalam kes ini dengan cuba masuk ke dalam kampus bagi memberikan sokongan kepada segelintir mahasiswa mengadakan demonstrasi ini. Seksyen 15 dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) hanya membenarkan ahli politik masuk ke dalam kampus jika dijemput untuk pentas akademik. Inilah perlu difahami oleh mana-mana ahli politik.

Keempat, terdapat pihak yang tidak menghormati kuasa autonomi pihak universiti dalam menguruskan kes ini. Jadi timbullah beberapa pihak di luar kampus yang minta supaya “penggantungan” Profesor Aziz bari ditarik semula dan tidak dikenakan hukuman ke atas mahasiswa yang telah mengadakan demonstrasi. Sepatutnya, pihak pentadbiran universiti tidak dipengaruhi dengan sentimen yang telah ditimbulkan oleh pihak di luar kampus ini dalam proses membuat keputusan berkenaan kes Profesor Aziz Bari. Berikan kepercayaan kepada pihak universiti dalam menguruskan perkara ini dan janganlah terus mencantas pihak pentadbiran universiti yang sedang menjalankan proses siasatan ke atas Profesor Aziz Bari.

Kelima, pihak Majlis Perwakilan Pelajar UIA (MPPUIA) perlu memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab kerana mereka telah dipilih secara demokrasi oleh para pelajar UIA. Kaedah secara diplomasi mestilah menjadi pilihan kepada pihak MPPUIA dalam memberikan pendirian mereka dalam kes ini dan juga dalam mendapatkan penjelasan daripada pihak pentadbiran universiti berkenaan kes ini. Biarkan segelintir mahasiswa tersebut yang ingin mendapatkan populariti dengan mengadakan demonstrasi tersebut. Tidak puas hati saja, berdemo! Tidak berpuas hati saja, berdemo! Ini melambangkan kematangan mereka dalam berfikir.

Keenam, segelintir mahasiswa ini dikatakan cuba mengadakan demonstrasi sekali lagi pada 25hb Oktober 2011 kerana pada tarikh tersebut dikatakan Perdana Menteri hadir ke UIA untuk menyaksikan pertandingan akhir Debat Piala Perdana Menteri 2011. Pada pertandingan akhir Debat Piala Perdana Menteri baru-baru ini, ketidakhadiran Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak ke pertandingan tersebut disalahtafsirkan sebagai takut kepada mahasiswa walhal beliau telah pergi ke Riyadh untuk memberikan penghormatan kepada kemangkatan salah seorang ahli kerabat diraja Arab Saudi.Walaupun begitu, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein telah hadir ke pertandingan akhir debat tersebut mewakilii Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak. Mahasiswa pada hari ini sentiasa menyokong kepimpinan YAB Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak yang sedang melakukan transformasi ke atas Negara ini.

Pihak SMM ini perlu sedar bahawa mereka bukannya mewakili mahasiswa/I di seluruh kampus dan mereka juga bukan badan mahasiswa yang diiktiraf. Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ialah satu badan yang mewakili mahasiswa di Malaysia dan juga diiktiraf oleh pihak kerajaan telah memperjuangkan kebajikan mahasiswa di seluruh kampus setelah sekian lama. Diharapkan mahasiswa dapat menolak perjuangan mereka ini yang mempunyai unsur peribadi dan kepentingan pihak-pihak tertentu. Sesungguhnya tindakan mereka ini menggambarkan pemikiran mereka yang kurang matang.

Ahmad Wafi bin Sahedan

Mantan Pengerusi,

Jemaah Yang Dipertua/Presiden

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia

Sidang Akademik 2009/2010

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...