Pages

Monday, November 14, 2011

Seksyen 15 AUKU beri kebebasan



UTUSAN (14/11/2011) m/s 12 

BERITA HARIAN (14/11/2011) m/s 27 

Perbincangan mengenai kewujudan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 terus menjadi topik hangat untuk diperdebatkan dan dibicarakan terutamanya seksyen 15 dalam AUKU yang berkaitan dengan mahasiswa. Perkara ini telah berlanjutan sejak kewujudan AUKU ini sehinggalah pada hari ini. Isu AUKU ini semakin popular apabila keputusan 2-1 Hakim Mahkamah Rayuan telah memihak kepada 4 orang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah ditangkap kerana mengedarkan “flyers” dan risalah hasutan di Pilihan Raya Kecil (PRK) di Hulu Selangor. Mahkamah telah membuat keputusan bahawa seksyen 15 (5) (a) AUKU diisytiharkan sebagai “unconstitutional” atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi masih ramai yang gagal memahami AUKU ini dengan baik. Jika kita lihat sendiri secara kasar berkenaan pemahaman tentang AUKU ini dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat kampus, ia masih berada di tahap yang rendah. Jadi kita akan melihat sesetangah mahasiswa mahupun masyarakat akan terpedaya dengan permainan persepsi segelintir pihak tertentu yang telah memburukkan AUKU. Mereka memburukkan AUKU dengan momokkan bahawa AUKU ini “zalim”, “tidak bebas” dan pelbagai lagi. Mereka ini sebenarnya berniat untuk memansuhkan AUKU demi kepentingan dan agenda pihak-pihak tertentu.

Pertama sekali, kita perlu faham bahawa kewujudan AUKU ini bukan hanya berkaitan dengan mahasiswa sahaja tetapi lebih banyak memfokuskan kepada penubuhan, pentadbiran dan pengurusan universiti. Ini adalah perkara asas yang perlu difahami oleh semua pihak termasuklah mahasiswa berkenaan kewujudan AUKU ini. Salah satu seksyen dalam AUKU yang menyentuh berkenaan mahasiswa ialah Seksyen 15. Hampir keseluruhan seksyen dalam AUKU pula menyentuh berkenaan penubuhan, pentadbiran dan pengurusan universiti. Jadi seharusnya tidak timbul isu bahawa AUKU ini perlu dimansuhkan kerana selain daripada seksyen 15, lain-lain seksyen menyentuh berkenaan pihak universiti.

Kita beralih kepada Seksyen 15 dalam AUKU yang dikatakan oleh segelintir pihak sebagai “tidak bebas” kepada mahasiswa. Kewujudan Seksyen 15 dalam AUKU ini mempunyai beberapa kepentingan.
1
.      Ia memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk bebas daripada mana-mana pihak terutamanya parti politik dan juga kumpulan-kumpulan yang mempunyai agenda tersendiri. Hal ini kerana dengan wujudnya Seksyen 15 dalam AUKU ini mengelakkan mahasiswa daripada terikat kepada mana-mana parti politik dan kumpulan-kumpulan yang mempunyai agenda tersendiri.
  • Seksyen 15 dalam AUKU ini juga menghalang daripada mana-mana parti politik yang cuba membawa politik kurang sihat ke dalam kampus. Hal ini bagi memastikan supaya politik kurang sihat ini tidak berlaku di dalam kampus dan menyebabkan gangguan kepada ekosistem pembelajaran di dalam kampus.
  • Perpecahan dalam kampus mengikut parti-parti politik dapat dielakkan kerana kita perlu faham yang budaya politik Malaysia ini kadang-kadang terarah kepada budaya politik kurang sihat. Hal ini kerana kita tidak mahu nanti kampus menjadi medan meraih sokongan oleh parti-parti politik dan akhirnya wujudlah bahagian UMNO, PKR, PAS dan DAP di dalam kampus tersebut dek kerana ingin meraih sokongan.
  • Hasil daripada Seksyen 15 dalam AUKU, Politik kampus yang telah wujud pada hari ini telah cukup sebagai medan latihan kepada mahasiswa dalam persediaan menghadapi dunia sebenar. Hal ini kerana politik kampus dan politik luar adalah dua perkara yang berbeza dan mempunyai budaya politik yang berbeza.
  • Golongan majoriti mahasiswa yang ingin belajar dan menimba ilmu pengetahuan dapat berada dalam keadaan yang harmoni dan aman tanpa gangguan budaya politik yang kurang sihat. Hal ini dapat memastikan majoriti mahasiswa dapat hidup dan belajar di kampus dengan aman dan harmoni.
  • Kewujudan mahasiswa pada hari ini sebagai “Third Party” yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak adalah penting dalam pembangunan negara dan juga dasar-dasar kerajaan yang berkaitan dengan masyarakat kampus. Hal ini kerana mahasiswa akan berpartisipasi dalam pembangunan negara dan dasar-dasar kerajaan sebagai “Third Party” bukannya memihak kepada mana-mana pihak.
  • Mahasiswa pada hari ini bebas untuk menyertai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang bukan bermotifkan politik. Hal ini menunjukkan bahawa demi menyumbang bakti kepada masyarakat, mahasiswa dibenarkan untuk menyertai NGO. Penglibatan dalam NGO dan Persatuan luar sudah cukup untuk memastikan pelajar dapat mengasah bakat kepimpinan dan mewujudkan kebebasan bersuara atas platform persatuan yang bebas tanpa ada pengaruh ideologi politik. Dengan ini dapat menghasilkan mahasiswa yang aktif dalam kesukarelawanan dan cintakan negara.
Kita dapat lihat beberapa kepentingan Seksyen 15 dalam AUKU ini yang sebenarnya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk menilai dan bersifat neutral dalam memberikan pandangan atas nama mahasiswa. Perkara asas dalam Seksyen 15 dalam AUKU ini perlulah difahami oleh mahasiswa dan masyarakat bukannya disalahfahamkan iaitu kebebasan untuk menilai sebagai mahasiswa bukannya bersifat partisan.

Kita akan lihat semula Seksyen 15 (5) (a) dalam AUKU yang dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dalam kes yang hangat baru-baru ini. Seksyen 15 (5)(a) mengatakan “Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia”.

Dalam Seksyen 15(5)(a) ini menjelaskan bahawa golongan mahasiswa tidak boleh menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik. Hal ini membawa maksud yang golongan mahasiswa adalah bebas daripada belenggu politik kepartian dan ini memberikan kekuatan kepada mahasiswa untuk membina idealisma mereka tersendiri mengikut acuan tersendiri tanpa dipengaruh mana-mana pihak.

Selain itu, Perkara 10(2) dalam Perlembagaan Persekutuan juga telah menetapkan bahawa sekatan kebebasan dibolehkan demi kepentingan pendidikan. Dalam erti kata lain, ia sebenarnya telah membuka ruang dan kebebasan yang terpimpin kepada mahasiswa bukannya kebebasan mutlak yang dicanang-canang oleh pihak-pihak tertentu. Dengan adanya seksyen 15(5)(a) ini juga bertujuan untuk memastikan matlamat utama pendidikan untuk membina minda dan keupayaan intelektual mahasiswa dipenuhi. Jika kita buka juga ruang kepada mahasiswa terlibat dengan parti-parti politik secara aktif, jangan kita terkejut kerana para pensyarah juga akan memohon perkara yang sama kerana mereka adalah lebih “matang” berbanding dengan mahasiswa. Akhirnya kampus menjadi medan untuk berpolitik dan akan tersimpang jauh dari matlamat asal pengajian tinggi.

Jika seksyen 15(5)(a) ini dimansuhkan maka pelbagai perkara buruk berlaku di dalam kampus. Kejadian provokasi dengan membawa bendera parti dan memakai baju parti akan mencetuskan keadaan kurang selesa di dalam kampus. Lebih teruk lagi jika provokasi ini akan membawa kepada keadaan fitnah antara satu sama lain dan juga pergaduhan. Hal ini sebenarnya yang kita perlu lihat terutamanya “orang luar” yang cuba mewakili mahasiswa dengan memohon pada kerajaan untuk memansuhkan seksyen 15(5)(a) dan juga seksyen 15 secara keseluruhannya.

Jadi, kerajaan pada hari ini perlu membuat rayuan dengan membawa kes berkaitan dengan Seksyen 15(5)(a) ini yang dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kepada mahkamah yang lebih tinggi. Hal ini adalah demi kepentingan majoriti mahasiswa yang inginkan kampus mereka dalam aman dan harmoni. Kerajaan tidak boleh tunduk kepada minoriti mahasiswa yang inginkan seksyen 15(5)(a) ini dimansuhkan tetapi kesan buruknya akan melanda keseluruhan masyarakat kampus dan menyebabkan kampus tidak harmoni dan aman.

Keseluruhannya, AUKU, Seksyen 15 dan Seksyen 15(5)(a) mempunyai kepentingan masing-masing dan kewujudan ketiga-tiga ini sebenarnya memberikan ruang dan kebebasan kepada mahasiswa bukannya dizalimi atau disekat seperti dikata oleh segelintir pihak-pihak tertentu. Kita perlu faham setiap satu yang wujud itu pastinya mempunyai kepentingan. Jangan kita terpedaya dengan slogan kebebasan yang digunakan oleh segelintir pihak tertentu kerana di dalam dunia ini tidak ada kebebasan mutlak selain kebebasan terpimpin.


Ahmad Wafi Bin Sahedan
Penggerak Mahasiswa Kebangsaan (PMK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...