Pages

Saturday, February 5, 2011

RESPON TERHADAP TUNTUTAN PRO-MAHASISWA NASIONAL TERHADAP PILIHAN RAYA KAMPUS 2011

Merujuk kepada memorandum yang telah dihantar oleh Pro-Mahasiswa Nasional pada tarikh 28hb Januari 2011 kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan dengan 8 tuntutan mereka terhadap Pilihan Raya Kampus (PRK) 2011, saya melihat ia sebagai satu permainan politik murahan yang cuba dilaung-laungkan oleh pihak pembangkang ini. Permainan ini boleh diibaratkan umpama “lagu lama penyanyi baru”.

Tuntutan-tuntutan mereka ini tidak ubah seperti mencetuskan polemik dalam politik kampus walhal tuntutan-tuntutan yang dikemukan oleh mereka ini sebenarnya menunjukkan siapa diri mereka sebenar. Tuntutan pertama mereka adalah berkaitan ‘ Bebaskan mahasiswa daripada cengkaman politik kepartian’. Saya tersenyum apabila melihat tuntutan pertama ini kerana mengingatkan saya terus pada Hari Konvokesyen di Universitit Malaya (UM). Pro-Mahasiswa Universiti Malaya pada waktu tersebut bersama-sama seorang Ahli Parlimen di kawasan Lembah Pantai membuat kecoh dengan membawa budaya politik luar ke dalam kampus pada waktu tersebut. Jadi,siapa sebenarnya yang menimbulkan isu tentang cengkaman politik kepartian dan kemudian menjadi jaguh untuk memperjuangkan isu tersebut.

Tuntutan kedua pula berkaitan tentang ‘Kembalikan semula demokrasi dan kebajikan mahasiswa di seluruh kampus’. Saya melihat dalam tuntutan ini terdapat 2 intipati yang penting iaitu pertama ialah berkaitan dengan kembalikan semula demokrasi di seluruh kampus.Saya berpendapat bahawa perkara ini sepatutnya tidak timbul kerana Pilihan Raya Kampus (PRK) yang telah diadakan sejak sekian lama ini adalah lambang demokrasi di kampus.Setiap mahasiswa ada hak untuk memilih pemimpin yang mereka inginkan dan jangan hanya disebabkan calon-calon Pro-Mahasiswa tidak dipilih sebagai Majlis Perwakilan Pelajar, terus kita katakan tidak ada demokrasi dalam kampus.

Kedua, berkaitan dengan kebajikan mahasiswa di kampus. Saya ingin terangkan bahawa Majlis Perwakilan Pelajar di seluruh kampus telah berusaha untuk memastikan bahawa kebajikan mahasiswa di kampus terjamin. Saya ingin menarik perhatian di sini, kenapa di segelintir universiti, terdapat 2 Majlis Perwakilan Pelajar yang wujud?Satu adalah Majlis Perwakilan Pelajar yang sah dan lagi satu dikenali sebagai Majlis Perwakilan Mahasiswa Pro-Mahasiswa. Saya melihat ini adalah satu fenomena yang tidak sihat daripada pihak Pro-Mahasiswa sendiri.

‘Pusat Pengundian harus ditukar dari kolej ke fakulti’ adalah tuntutan ketiga oleh pihak Pro-Mahasiswa Nasional.Secara asasnya saya melihat rasional yang dilakukan oleh pentadbiran universiti dengan meletakkan pusat pengundian di kolej kediaman adalah untuk memudahkan mahasiswa/I untuk turun mengundi berbanding diletakkan di fakulti.Hal ini kerana jarak yang jauh antara kolej kediaman dan juga fakulti ini jugakadang-kadang menyebakan mahasiswa/I akan berasa berat untuk turun mengundi di fakulti berbanding di kolej kediaman.


Tuntutan keempat adalah berkaitan dengan ‘Suruhanjaya bebas memantau perjalanan pilihan raya kampus’. Saya melihat perkara ini adalah tidak perlu untuk kita melantik sebuah suruhanjaya bebas bagi memantau perjalanan pilihan raya kampus di semua kampus. Sudah memadai dengan adanya suruhanjaya pilihan raya kampus. Saya melihat jika kemenangan itu tidak dimiliki oleh Pro-Mahasiswa,maka kecohlah satu negara dengan mengatakan pihak universiti itu zalim dan tidak telus walhal jika mereka pula yang menang, mereka tidak pula berkata apa-apa.Maka susahlah begitu untuk kita adakan pilihan raya kampus.

Tuntutan kelima mereka pula ialah ‘ Memansuhkan sistem e-voting’ di universiti-universiti yang sedang menggunakan sistem ini. Saya teringat Pilihan Raya Kampus yang lepas di Universiti Malaya, di mana Pro-Mahasiswa Universiti Malaya telah mengadakan bantahan terhadap Pilihan Raya Kampus lepas di mana mereka mengatakan system e-voting yang digunakan oleh pihak pentadbiran universiti adalah tidak telus.Kemudian mereka membawa masuk suruhanjaya bebas untuk memeriksa integriti sistem tersebut. Keputusannya, suruhanjaya itu mengatakan tidak ada apa-apa masalah dengan sistem e-voting yang digunakan oleh pihak universiti.

‘Tarikh pilihan raya kampus diumumkan lebih awal’ sepatutnya tidak menjadi isu dan dipolitikkan.Hal ini kerana Majlis Perwakilan Pelajar akan dibubarkan selepas setahun mereka berkhidmat dan notis akan dinaikkan dalan kampus beserta tarikh pilihan raya kampus.Saya tidak nampak ini sebagai satu masalah tetapi ia seperti dipolitikkan oleh pihak tertentu.

Tuntutan ketujuh yang dikemukan oleh pihak Pro-Mahasiswa ialah ‘Tempoh berkempen dipanjangkan selama satu minggu’. Tuntutan ini adalah tidak berasas kerana kempen selama seminggu ini adalah terlalu lama dan juga akan memberikan impak negatif kepada mahasiswa/I di kampus. Hal ini kerana kita perlu memikirkan tentang kuliah dan kelas yang masih dijalankan waktu pilihan raya kampus.Kita tidak mahu kempen selama tujuh hari bekerja ini menyebabkan kebanyakkan mahasiswa/I tidak berasa selesa dengan keadaan ini.Pada hemat saya, biarlah tempoh kempen paling maksimum adalah 4 hari kerana kempen yang terlalu lama juga tidak akan memberikan faedah kepada mahasiswa/I di kampus.

‘Berikan cuti pada hari penamaan calon dan pembuangan undi’ ialah tuntutan terakhir daripada Pro-Mahasiswa. Saya tidak bersetuju dengan tuntutan ini atas 2 sebab.Pertama, jika cuti ini diberikan ,maka ia akan akan menganggu perjalanan kalender akademik yang telah ditetapkan oleh pihak universiti.Hal ini akan memberikan kesan kepada pengajaran dan pembelajaran di fakulti-fakulti. Sebab kedua ialah adakah wujud jaminan yang mahasiswa/I akan turun mengundi jika mereka diberikan cuti pada hari penamaan calon dan hari pembuangan undi?Sesetengah mahasiswa akan lebih memilih untuk keluar dari kampus dan melakukan aktiviti berbanding untuk turun mengundi.


Saya melihat memorandum yang dihantar oleh pihak Pro-Mahasiswa Nasional ini lebih hanya pada retorik walhal merekalah yang mencabul dan mempolitikkan isu-isu dalam kampus dan juga negara. Jangan kita membawa masuk budaya politik luar ke dalam kampus,biarlah kita sebagai mahasiswa terus berpegang kepada kaedah,diplomasi, realistik,rasional dan toleransi tanpa dipengaruhi oleh unsur emosi kerana kaedah yang digunakan ini pastinya mempunyai kekuatan tersendiri.

AHMAD WAFI BIN SAHEDAN

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...