Pages

Friday, May 25, 2012

PARLIMEN BELIA MALAYSIA!!!




Ahli-ahli Parlimen Belia Malaysia (P) 2012


        Golongan Belia di Malaysia ditakrifkan sebagai golongan yang berusia dari umur 15 tahun sehingga 40 tahun dan mengikut statistik rasmi  pada tahun 2010 menunjukkan bahawa golongan belia dianggarkan seramai 11.3 juta orang atau 41.1% daripada keseluruhan penduduk Malaysia yang berjumlah seramai 27.5 juta orang. Dengan jumlah sebesar ini, golongan belia harus dilihat sebagai satu golongan yang mempunyai kapasiti besar dalam menggerakkan pembangunan Negara.
      
        Terdapat pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak  kerajaan terutamanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam memperkasakan golongan belia seperti pengenalan Rakan Muda, Belia Mahir 1 Malaysia, Hari Belia Negara dan lain-lain lagi. Tidak dilupakan juga Majlis Belia Malaysia (MBM) yang telah memperkasakan belia dengan menyelaraskan pertubuhan-pertubuhan belia dan juga telah melakukan pelbagai program yang memenuhi aspirasi golongan belia.
      
Belia Bangsa Malaysia

        Saya sangat tertarik dengan satu inisiatif baru yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama  Majlis Belia Malaysia (MBM) iaitu Parlimen Belia Malaysia (PBM). Parlimen Belia Malaysia ini adalah salah satu daripada enam inisiatif yang terhasil daripada Makmal Transformasi Pembangunan Belia dan telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada tahun lepas semasa sambutan Hari Belia Negara yang lepas.
    
        Jadi baru-baru ini iaitu pada 8-11 Mei 2012, telah diadakan satu “mock” Parlimen Belia Malaysia di Kuala Lumpur yang telah diselaraskan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Umur untuk menjadi ahli dalam Parlimen Belia Malaysia ialah dari 18 tahun sehingga 30 tahun. Sesi-sesi seperti penerangan “standing order” dan “public hearing” diberikan terlebih dahulu sebelum  bermulanya “mock” Parlimen Belia Malaysia pada hari ketiga.
     
         Pada hari ketiga, “mock” Parlimen Belia Malaysia telah diadakan, bermula dari proses perbahasan usul sehinggalah pengundian. Terdapat 2 isu yang telah dibahaskan iaitu berkaitan Salah Laku Moral (LGBT) dan juga Sistem Pendidikan di Malaysia. Saya begitu tertarik dan kagum dengan perbahasan yang berlangsung kerana setiap ahli parlimen belia mempamerkan kematangan mereka dalam berhujah dan juga pro aktif dalam memberi pandangan mereka terhadap 2 isu tersebut.
       
Perbahasan
        
         Jadi saya melihat  terdapat 2 kepentingan yang dapat wujud pada Parlimen Belia Malaysia. Pertamanya ialah Pendidikan Demokrasi yang merangkumi pemahaman terhadap Sistem Demokrasi Berparlimen yang wujud di Malaysia. Keduanya ialah, Suara Belia dapat diangkat dalam mengukuhkan partisipasi dan pandangan belia berkaitan isu-isu nasional dan isu-isu tempatan dari perspektif belia itu sendiri.
     
        Jika dilihat pada Parlimen Belia di UK, Australia, Pakistan dan lain-lain lagi, saya boleh simpulkan bahawa 2 kepentingan yang saya nyatakan di atas wujud di parlimen belia masing-masing. Perbezaan yang mungkin wujud antara satu sama lain ialah dari segi strukutur  dan punca kuasa bagi parlimen belia itu. Saya yakin dan percaya bahawa 2 kepentingan yang wujud pada Parlimen Belia Malaysia iaitu Pendidikan Demokrasi dan Suara Belia  perlulah diperkukuhkan dan diserapkan ke dalam kalangan ahli-ahli Parlimen Belia itu sendiri.
  
       Keterbukaan pihak kerajaan dalam menerima cadangan penubuhan Parlimen Belia Malaysia ini seharusnya dipuji kerana budaya politik baru yang akan wujud dan lahir dari Parlimen Belia Malaysia ini pastinya akan dapat menghasilkan pemimpin-pemimpin negara pada masa hadapan yang dapat meneruskan legasi kepimpinan negara dan terus memajukan negara bersandarkan pada ilmu pengetahuan.
      
      Sesungguhnya harapan yang terletak pada Parlimen Belia Malaysia ini begitu tinggi kerana ia adalah satu titik permulaan sejarah dalam politik Malaysia.


Belia bakal pemimpin negara



AHMAD WAFI BIN SAHEDAN
SPEAKER PARLIMEN BELIA MALAYSIA (P) 2012

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...